Ringkasan AI
- Warren Buffett menyumbangkan saham Berkshire Hathaway bernilai AS$5.5 bilion kepada empat yayasan keluarga yang dikendalikan anak-anaknya.
- Sumbangan melibatkan penukaran 6,150 saham Kelas A kepada 9,225,000 saham Kelas B sebelum diagihkan kepada yayasan berkaitan.
- Setiap yayasan memberi tumpuan kepada bidang kebajikan berbeza termasuk pendidikan, menangani kebuluran, bantuan konflik dan pembangunan komuniti.
WASHINGTON: Bilionair Amerika Syarikat (AS) Warren Buffett menyumbangkan saham syarikat pelaburannya, Berkshire Hathaway, bernilai keseluruhan AS$5.5 bilion kepada badan kebajikan yang dikendalikan oleh anak-anaknya, menurut syarikat itu.
"Hari ini, Warren E. Buffett, Pengerusi Emeritus Berkshire Hathaway, akan menukar 6,150 saham Kelas A kepada 9,225,000 saham Kelas B sebelum menyumbangkannya kepada empat yayasan keluarga.
"Sebanyak 3,690,000 saham akan disumbangkan kepada The Susan Thompson Buffett Foundation, manakala The Sherwood Foundation, The Howard G. Buffett Foundation dan NoVo Foundation masing-masing menerima 1,845,000 saham," menurut kenyataan Berkshire Hathaway, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Berdasarkan harga penutupan pasaran sebanyak AS$592.85 sesaham, nilai keseluruhan sumbangan itu dianggarkan berjumlah US$5.47 bilion.
Ketiga-tiga anak Buffett masing-masing menguruskan inisiatif kebajikan sendiri, dengan Susan Buffett memberi tumpuan kepada pendidikan, Howard Buffett dalam usaha menangani kebuluran dan membantu mangsa konflik, manakala Peter Buffett menyokong pembangunan komuniti setempat.
Warren Buffett menjadi bilionair pada 1986 selepas berjaya mengembangkan Berkshire Hathaway menjadi sebuah syarikat gergasi menerusi strategi pelaburan nilai.
Beliau kini disenaraikan antara 10 individu terkaya di dunia.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI