Suspek wanita yang disyaki bertanggungjawab dalam insiden tembakan rambang di ibu pejabat YouTube dilaporkan mati.

Menurut laporan portal berita tempatan, MSNBC, sumber yang boleh dipercayai melaporkan bahawa suspek telah mati di tempat kejadian.

Ketua Polis San Bruno Ed Barberini berkata suspek mati akibat kecederaan yang dilakukan sendiri atau ‘self-inflicted’ wounds.

Sementara itu CNN melaporkan lima mangsa yang cedera sudah dikejarkan ke hospital. Tiga daripada mereka ditempatkan di Hospital Awam Zuckerberg dan dua lagi kini dirawat di Pusat Perubatan Standford.

Salah seorang mangsa, yang belum dipastikan identitinya, dilaporkan cedera akibat perbuatan sendiri.

Mangsa, seorang lelaki 36 tahun dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan dua wanita, masing-masing 32 tahun dan 27 tahun, mengalami kecederaan serius.



Polis San Bruno menerusi akaun Twitter rasmi mereka berkata, “Kami sedang bertindak balas terhadap serangan seorang penembak. Sila jauhi kawasan Cherry Ave dan Bay Hill Drive”.

Sementara itu, pekerja-pekerja di syarikat penstriman video merupakan antara orang terawal yang melaporkan insiden tersebut menerusi laman sosial media Twitter.



Vadim Lavrusik menerusi akaun Twitter rasminya berkata terdapat seorang penembak yang aktif di ibu pejabat Youtube. Tambahnya, dia sedang berlindung di dalam pejabat bersama rakan sekerjanya.

Pihak berkuasa berkata mereka menerima panggilan mengenai seorang penembak rambang pada pukul 12:45 tengah hari.

Presiden Donald Trump telah diberi taklimat mengenai kejadian tersebut.