Ringkasan AI
- Jabatan Alam Sekitar (JAS) komited memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan terhadap premis pemprosesan buangan elektrik dan elektronik (e-waste).
- JAS akan meningkatkan pemeriksaan, termasuk waktu malam, bagi memastikan pematuhan undang-undang alam sekitar di premis e-waste dan kitar semula.
- Kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang boleh mengakibatkan tindakan penguatkuasaan, termasuk pendakwaan di mahkamah.
PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) komited memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan terhadap premis pemprosesan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) bagi memastikan semua aktiviti pengurusan buangan terjadual mematuhi perundangan alam sekitar.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS Azuri Azizah Saedon berkata pemeriksaan terhadap premis akan terus dipertingkatkan, selain memastikan sebarang ketidakpatuhan ditangani secara konsisten, telus dan berasaskan bukti.
"JAS akan terus memperkukuh pemantauan dan pemeriksaan terhadap premis serta meningkatkan keberkesanan operasi penguatkuasaan bagi memastikan sebarang ketidakpatuhan ditangani secara konsisten, telus dan berasaskan bukti, selaras dengan peruntukan undang-undang serta prosedur operasi standard yang berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan kenyataan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) pada 22 Okt lepas berhubung tindakan penguatkuasaan terhadap premis pemprosesan buangan terjadual khususnya e-waste, serta aktiviti kitar semula di Kawasan Perindustrian Segamat, Johor.
Beliau turut mengingatkan semua pengusaha premis supaya memastikan aktiviti pengurusan buangan terjadual, termasuk e-waste dilaksanakan sepenuhnya mengikut kehendak undang-undang alam sekitar.
Azuri Azizah berkata kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang boleh mengakibatkan tindakan penguatkuasaan, termasuk pendakwaan di mahkamah, bergantung kepada jenis kesalahan, peruntukan undang-undang berkaitan dan kecukupan bukti.
"Jabatan menghormati peranan EAIC dalam memastikan integriti, akauntabiliti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan negara," katanya.
Justeru, katanya JAS akan memberikan kerjasama sewajarnya kepada EAIC dalam sebarang proses siasatan dan penelitian lanjut selaras dengan peruntukan undang-undang serta prosedur yang berkuat kuasa.
Sebelum ini, EAIC mengesyorkan JAS mempertingkatkan pemeriksaan pada waktu malam terhadap premis e-waste dan kitar semula bagi memastikan aktiviti serta kemungkinan pelanggaran undang-undang dapat dikesan dengan lebih berkesan.
Syor itu dikemukakan susulan siasatan lanjut EAIC terhadap tindakan penguatkuasaan JAS ke atas premis e-waste di Kawasan Perindustrian Segamat, Johor, yang mendapati pemeriksaan malam ketika ini hanya dilaksanakan berdasarkan keperluan dan aduan diterima.
-- BERNAMA