Skip to main content

Dunia

Tempoh 60 hari "tidak lagi relevan" selepas AS langgar memorandum - Iran

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei
Baqaei menegaskan, disebabkan pelanggaran terang-terangan dan meluas terhadap memorandum persefahaman itu oleh Amerika Syarikat, tiada dialog dimulakan hanya beberapa minggu selepas ia ditandatangani. - X Esmaeil Baqaei
Advertisement

TEHRAN: Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baqaei pada Isnin berkata tempoh 60 hari bagi rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) susulan memorandum persefahaman pada 17 Jun lepas “tidak lagi relevan” selepas apa yang disifatkannya sebagai pelanggaran “terang-terangan” oleh Washington, lapor Anadolu Ajansi yang memetik agensi berita separa rasmi Tasnim.

“Tiada peruntukan dalam memorandum persefahaman itu yang merujuk kepada "tempoh 60 hari", dan Republik Islam Iran tidak pernah merangka dasarnya di bawah tekanan, kata dua atau had masa,” kata Baqaei kepada pemberita pada sidang media mingguan.

Sebaliknya, memorandum itu menggariskan tempoh 60 hari bagi rundingan mengenai dua isu -- “penarikan balik sekatan” dan “isu nuklear” -- yang boleh dilanjutkan sekiranya tiada persetujuan dicapai, katanya.

“Disebabkan pelanggaran terang-terangan dan meluas terhadap memorandum persefahaman itu oleh Amerika Syarikat, tiada dialog dimulakan hanya beberapa minggu selepas ia ditandatangani,” kata Baqaei.

“Akibatnya, perbincangan mengenai tempoh 60 hari itu langsung tidak lagi relevan,” katanya.

Jurucakap itu mendakwa sekatan AS “tidak memberi kesan” terhadap Iran sambil berkata halangan utama dalam menyelesaikan pertikaian antara Tehran dan Washington “bukan disebabkan kekurangan pengantara”.

“Negara seperti Pakistan dan Qatar sudah memainkan peranan dalam hubungan Iran-AS,” kata Baqaei.

“Ia juga sesuatu yang sememangnya wajar bagi sesetengah negara Eropah untuk menyatakan pandangan dan kesediaan mereka menerusi hubungan dua hala untuk menawarkan ‘jasa baik’,” katanya.

“Namun, ini tidak bermakna pengantara baharu telah muncul atau diterima dalam hubungan Iran-AS.”

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement