BAITULMAQDIS: Tentera Israel mengakui telah melancarkan sebuah peluru pemintas secara tidak sengaja ke arah sasaran yang kemudian dikenal pasti sebagai aset miliknya sendiri di selatan Lubnan.
Dalam satu kenyataan, tentera Israel memaklumkan insiden itu berlaku akibat kesilapan ketika operasi dijalankan, namun tiada kecederaan dilaporkan dan siren kecemasan juga tidak diaktifkan.
Menurut pihak tentera, insiden berkenaan sedang disiasat bagi mengenal pasti punca sebenar kesilapan tersebut serta mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.
Kejadian itu berlaku ketika ketegangan masih berterusan di kawasan sempadan Israel-Lubnan meskipun gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat sebelum ini masih berkuat kuasa.
Walaupun perjanjian gencatan senjata dicapai, tentera Israel terus mengekalkan kehadirannya di beberapa kawasan di selatan Lubnan dan melancarkan serangan secara berkala di wilayah berkenaan.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, situasi keselamatan di sempadan Israel-Lubnan kekal rapuh dengan kedua-dua pihak saling menuduh melanggar syarat gencatan senjata.
Pihak berkuasa Israel setakat ini tidak memberikan maklumat lanjut mengenai jenis aset yang menjadi sasaran tersilap itu atau lokasi tepat kejadian di selatan Lubnan.