Skip to main content

Dunia

Tentera Israel mula proses perobohan rumah di Tebing Barat selepas dua anggota terbunuh

Israeli army units block the road and prevent Palestinian villagers, supported by foreign and Israeli peace activists, from reaching their lands where Israeli settlers established a new outpost, at the West Bank town of Qabalan, southeast of Nablus, Saturday, July 4, 2026. (AP Photo/Majdi Mohammed)
Pihak tentera Israel berkata premis terbabit diserbu bagi tujuan penyitaan sementara sebelum proses perobohan dilaksanakan oleh pihak berkuasa. -Gambar fail/AP
Advertisement

RAMALLAH: Tentera Israel menyerbu beberapa kediaman milik warga Palestin di Tebing Barat yang diduduki sebagai langkah awal untuk merobohkan struktur rumah berkenaan susulan insiden yang mengorbankan dua anggota tenteranya pada Jumaat lalu, lapor Al Jazeera.

Dalam kenyataan rasmi, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengesahkan siri serbuan itu menyasarkan rumah penduduk di perkampungan Tal berhampiran Nablus yang dikaitkan oleh Israel dengan kejadian tembakan berkenaan.

Pihak tentera berkata premis terbabit diserbu bagi tujuan penyitaan sementara sebelum proses perobohan dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

Tindakan itu diambil susulan insiden keganasan di barat daya Nablus yang mengorbankan empat rakyat Palestin serta dua anggota tentera Israel selepas sekumpulan peneroka haram Yahudi menyerang perkampungan Tal berhampiran penempatan haram Havat Gilad.

Sumber keselamatan tempatan melaporkan keganasan tercetus apabila kumpulan peneroka haram itu melepaskan tembakan, menyebabkan penduduk Palestin cuba mempertahankan kediaman mereka daripada diceroboh.

Bagaimanapun, tentera Israel mendakwa unit ketenteraan dihantar ke lokasi kejadian bagi melindungi sekumpulan warga Israel yang sedang menjalankan aktiviti riadah.

Pendekatan merobohkan rumah keluarga suspek itu terus dikutuk oleh pelbagai kumpulan hak asasi manusia antarabangsa yang menyifatkannya sebagai hukuman kolektif yang didakwa melanggar undang-undang antarabangsa.

Sementara itu, kemarahan terhadap insiden berkenaan mencetuskan demonstrasi di Jalan Kaplan, Tel Aviv apabila ratusan warga Israel berhimpun di bawah anjuran parti Hadash bagi membantah peningkatan keganasan peneroka haram Israel serta pentadbiran ketenteraan di wilayah Palestin.

Polis Israel kemudian bertindak menyuraikan perhimpunan itu dan menahan sembilan individu atas dakwaan mengadakan protes tanpa kebenaran, mengganggu ketenteraman awam serta menyekat laluan jalan raya utama.

 

Must Watch Video

Advertisement