WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) memaklumkan pihaknya melepaskan tembakan ke arah sebuah kapal kargo yang didakwa cuba melanggar sekatan maritim AS terhadap pelabuhan Iran di Teluk Oman.
Menurut Komando Pusat AS (CENTCOM), sebuah helikopter Tentera Laut AS melancarkan dua peluru berpandu Hellfire ke arah kapal kargo Vela Nova yang berdaftar di Panama pada Selasa.
CENTCOM mendakwa kapal terbabit cuba menuju ke sebuah pelabuhan Iran sekali gus melanggar sekatan yang dikenakan AS ke atas negara itu.
Serangan itu dilaporkan menyasarkan bilik enjin kapal berkenaan dan menyebabkan sistem sterengnya tidak lagi berfungsi.
Pihak tentera AS turut mendakwa anak kapal mengabaikan beberapa amaran yang diberikan sebelum tindakan diambil.
Bagaimanapun, CENTCOM tidak menyatakan sama ada terdapat kecederaan dalam kalangan anak kapal susulan insiden itu.
Ketegangan di rantau berkenaan berlaku ketika konflik antara AS, Israel dan Iran menunjukkan tanda-tanda reda selepas peningkatan ketegangan selama 13 hari pada Julai lalu.
Namun, memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Washington dan Tehran pada Jun lalu dilihat semakin rapuh apabila rundingan damai gagal menunjukkan kemajuan ketara.
CENTCOM berkata sepanjang sekatan maritim ke atas Iran dilaksanakan semula, pasukan AS telah melumpuhkan 55 kapal komersial, mengambil tindakan terhadap tiga kapal yang didakwa ingkar arahan serta menaiki dua kapal lain untuk pemeriksaan.
AS mengembalikan sekatan terhadap pelabuhan Iran selepas pertempuran kembali tercetus dan Iran sekali lagi memperketat kawalannya ke atas Selat Hormuz, laluan perkapalan penting yang mengendalikan sebahagian besar perdagangan bahan api dunia.
Sementara itu, Iran terus menuntut perubahan dasar Washington sebelum mempertimbangkan pembukaan semula Selat Hormuz.
Agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim, memetik Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei, sebagai berkata selat itu tidak akan dibuka sehingga AS mengubah pendiriannya dan menerima syarat yang ditetapkan Tehran.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Dalam Negeri Pakistan, Mohsin Naqvi, tiba di Tehran pada Selasa bagi mengadakan perbincangan dengan pegawai Iran dalam usaha mencari jalan penyelesaian dan meredakan konflik yang berterusan di rantau itu.