Skip to main content

Dunia

Tentera Yaman dakwa 50 anggota Houthi maut, cedera dalam pertempuran

Members of Houthi security forces sit on a rock at the site of a rally held to commemorate Mawlid, marking the anniversary of Prophet Muhammad's birthday, in Sanaa, Yemen, August 25, 2026. REUTERS/Khaled Abdullah TPX IMAGES OF THE DAY
Houthi menguasai ibu negara Sanaa dan beberapa bandar lain sejak September 2014, manakala kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta pasukan sekutunya menguasai kawasan luas di selatan, timur dan barat negara itu. - Gambar fail/REUTERS
Advertisement

ISTANBUL: Tentera Yaman pada Khamis malam mendakwa seramai 50 anggota kumpulan Houthi maut atau cedera selepas pasukan itu berjaya mematahkan serangan yang bertujuan menguasai jalan yang menghubungkan bandar Taiz dan Mocha di barat Yaman, lapor Anadolu Ajansi.

Markas Pemerintahan Paksi Taiz tentera itu memaklumkan serangan Houthi menyasarkan barisan hadapan Maqbanah dan Al-Kadhah serta bertujuan menguasai jalan yang menghubungkan Taiz dan Mocha di barat Yaman.

Pasukan Paksi Taiz dan pasukan Penentangan Nasional yang bersekutu dengan kerajaan melancarkan serangan balas bersama ke atas kedudukan Houthi di barisan hadapan Al-Kadhah dan Maqbanah, menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan pertempuran berkenaan menyebabkan 50 anggota Houthi maut atau cedera, tanpa memberikan butiran lanjut.

Terdahulu pada hari sama, tentera Yaman mengumumkan bahawa pihaknya berjaya menawan beberapa kedudukan tentera yang dikuasai Houthi susulan pertempuran di wilayah Taiz di barat daya negara itu.

Barisan hadapan Taiz menyaksikan peningkatan ketegangan ketenteraan pada Khamis, termasuk serangan menggunakan peluru berpandu balistik dan dron serta pertempuran darat di daerah Al-Kadhah, Maqbanah dan Mawza di bahagian barat wilayah itu.

Peningkatan ketegangan itu merupakan antara pertempuran paling sengit di Taiz sejak gencatan senjata hasil pengantaraan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2022, ketika PBB memberi amaran mengenai risiko Yaman kembali terjerumus ke dalam konflik yang lebih meluas.

Houthi menguasai ibu negara Sanaa dan beberapa bandar lain sejak September 2014, manakala kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta pasukan sekutunya menguasai kawasan luas di selatan, timur dan barat negara itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement