BANGKOK: Seorang penghuni sebuah kondominium di Thailand bertindak memotong tali sokongan dua pekerja yang sedang melakukan kerja baik pulih di luar bangunan, gara-gara berang tidak diberitahu tentang kehadiran mereka.

Akibatnya, dua pekerja malang itu tergantung dan 'tersadai' di tingkat 26 sehingga diselamatkan penghuni lain.

Wanita itu kini menghadapi tuduhan cubaan membunuh dan memusnahkan harta benda, kata Pongjak Preechakarunpong, Ketua Polis Pak Kret kepada The Associated Press.

Pongjak tidak mengesahkan punca sebenar wanita itu bertindak demikian, tetapi media Thailand melaporkan wanita itu marah apabila melihat dua pekerja muncul di luar biliknya namun tidak dimaklumkan pihak pengurusan kondominium tentang kerja yang akan dilakukan mereka pada 12 Oktober lalu.

Video yang tular di media sosial menunjukkan dua pekerja itu meminta penduduk di tingkat 26 membuka tingkap dan membenarkan mereka masuk.


Salah seorang pekerja, warga Myanmar bernama Song, memberitahu media bahawa dia dan dua rakannya turun menggunakan tali dari tingkat 32 untuk membaiki keretakan pada bangunan.

Namun sebaik tiba di tingkat 30, dia merasakan tali itu lebih berat dan nampak seseorang di tingkat 21 membuka tingkap dan memotong tali sokongan tersebut.

Dia cuba meminta bantuan daripada unit lain, tetapi gagal.

Praphaiwan Setsing, seorang penghuni kondominium di tingkat 26 berkata, suaminya, seorang warga Britain menyedari pekerja terbabit memberi isyarat meminta bantuan dan memintanya bercakap dengan mereka.

Suspek yang hadir ke balai polis bersama peguamnya pada Rabu, mengaku memotong tali berkenaan tetapi menafikan mempunyai niat untuk membunuh dua pekerja terbabit.

Dia dibebaskan buat sementara waktu sementara menunggu polis memfailkan dakwaan. Jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.