Skip to main content

Dunia

[TERKINI] Israel, Lubnan setuju laksana gencatan senjata

U.S., Lebanese and Israeli representatives meet at the State Department in Washington, D.C., U.S., June 2, 2026. REUTERS/Elizabeth Frantz
Wakil Amerika Syarikat, Lubnan dan Israel bertemu di Jabatan Negara di Washington, Amerika Syarikat, pada 2 Jun 2026. - Gambar Reuters

WASHINGTON: Lubnan dan Israel bersetuju melaksanakan gencatan senjata hasil rundingan yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS).

Perkara itu disahkan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat trilateral peringkat tinggi di Washington.

Mesyuarat yang berlangsung pada 2 dan 3 Jun itu melibatkan wakil AS, Lubnan dan Israel bagi membincangkan usaha menghentikan konflik serta memperkukuh kestabilan di sempadan kedua-dua negara.

Menurut kenyataan tersebut, gencatan senjata akan berkuat kuasa dengan syarat semua serangan oleh Hezbollah dihentikan sepenuhnya dan semua anggota kumpulan itu berundur dari kawasan selatan Sungai Litani.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian, Lubnan dan Israel bersetuju untuk mempercepatkan pembentukan beberapa zon perintis yang akan dikawal sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Lubnan tanpa kehadiran mana-mana kumpulan bersenjata bukan kerajaan.

Ketiga-tiga pihak menyatakan langkah itu penting bagi membuka jalan ke arah perjanjian keamanan dan keselamatan yang lebih menyeluruh pada masa depan.

Mereka turut menegaskan bahawa masa depan hubungan antara Lubnan dan Israel perlu ditentukan oleh kerajaan kedua-dua negara secara berdaulat, serta menolak sebarang campur tangan pihak luar atau kumpulan bukan negara yang boleh menjejaskan masa depan Lubnan.

Israel dan Lubnan juga mengulangi komitmen untuk meneruskan rundingan secara langsung bagi membina keyakinan, menyelesaikan isu tertunggak dan mencapai perjanjian yang berkekalan.

Delegasi kedua-dua negara turut membincangkan rangka kerja keselamatan yang bertujuan memastikan kedaulatan, keselamatan dan integriti wilayah masing-masing terus terpelihara.

Antara perkara yang dibincangkan ialah usaha melucutkan senjata kumpulan bersenjata bukan kerajaan serta menghalang kemunculan semula kumpulan tersebut.

Dalam kenyataan sama, semua pihak mengecam serangan Iran terhadap negara-negara di rantau Asia Barat serta tindakan yang dianggap menjejaskan kestabilan serantau melalui sokongan kepada kumpulan proksi dan bentuk pencerobohan lain.

Amerika Syarikat menegaskan sokongannya kepada kerajaan Lubnan dan Israel untuk melaksanakan kedaulatan masing-masing.

Washington juga menyatakan komitmen untuk terus membantu meningkatkan keupayaan Angkatan Tentera Lubnan agar mampu mengawal seluruh wilayah negara itu dengan lebih berkesan.

Sementara itu, Israel menegaskan keselamatan negaranya hanya dapat dicapai melalui pelucutan senjata Hezbollah dan pembongkaran infrastruktur kumpulan tersebut di seluruh Lubnan.

Lubnan pula menekankan kepentingan menghormati sempadan yang diiktiraf antarabangsa, pelaksanaan penuh gencatan senjata serta pemeliharaan kedaulatan negara.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk menyambung semula rundingan politik dan keselamatan pada minggu bermula 22 Jun ini, dengan matlamat mencapai perjanjian menyeluruh yang dapat menjamin keamanan dan kestabilan jangka panjang antara kedua-dua negara. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement