Skip to main content

Dunia

Terusan Suez selamat, trafik perkapalan kembali normal - Mesir

61745722400_tbSuezCanal.jpg
Pada Ogos, Terusan Suez merekodkan laluan 1,358 kapal dengan jumlah tan bersih 68.3 juta tan, berbanding 1,070 kapal dengan 45.2 juta tan pada bulan sama 2025. - Gambar fail/ Adobe Stock
Advertisement

KAHERAH/ISTANBUL: Mesir memaklumkan Terusan Suez kekal “selamat”, dengan laluan perkapalan beroperasi seperti biasa, lapor Anadolu Ajansi.

Pengerusi Pihak Berkuasa Terusan Suez, Osama Rabie berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Maritim Sedunia 2026 di Alexandria yang dianjurkan oleh Sektor Pengangkutan Maritim, Kementerian Pengangkutan.

Beliau berkata pergerakan kapal melalui terusan itu berjalan lancar, manakala hasil pada Ogos mencecah US$567.1 juta, meningkat 56.7 peratus berbanding US$326 juta pada bulan sama tahun lalu.

Pada Ogos, Terusan Suez merekodkan laluan 1,358 kapal dengan jumlah tan bersih 68.3 juta tan, berbanding 1,070 kapal dengan 45.2 juta tan pada bulan sama 2025.

Rabie berkata angka itu mencerminkan peningkatan 27 peratus dalam jumlah kapal, 51.1 peratus dalam tan bersih dan 56.7 peratus dalam hasil.

Merujuk kepada perubahan geopolitik global dan serantau sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau berkata krisis antarabangsa memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan global, namun Terusan Suez sekali lagi memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran rantaian bekalan berkenaan.

Kenyataan Mesir itu dibuat ketika ketegangan berterusan di sekitar Selat Bab al-Mandab yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan menjadi laluan masuk ke Terusan Suez.

Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty baru-baru ini berkata ketegangan di Laut Merah menyebabkan Mesir kehilangan kira-kira US$11 bilion hasil Terusan Suez.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement