BANGKOK: Pemimpin 18 negara dalam satu kenyataan bersama menggesa pembebasan segera semua tawanan termasuk warganegara mereka sendiri yang ditahan Hamas di Gaza.

Pemimpin berkenaan adalah dari Argentina, Austria, Brazil, Bulgaria, Kanada, Colombia, Denmark, Perancis, Jerman, Hungary, Poland, Portugal, Romania, Serbia, Sepanyol, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Kenyataan bersama itu diperoleh melalui hantaran di laman sesawang Kementerian Luar Thailand yang menyatakan nasib tawanan dan orang awam di Gaza yang dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa, menjadi perhatian masyarakat antarabangsa.

"Kami menyokong sepenuhnya usaha rundingan menerusi perantaraan yang masih berjalan untuk membawa pulang rakyat kami.

Kami mengulangi gesaan kami kepada Hamas untuk membebaskan tawanan dan marilah kita tamatkan krisis ini supaya kita boleh menumpukan usaha kita untuk membawa keamanan dan kestabilan di rantau ini secara bersama," kata mereka.

Pemimpin-pemimpin itu menekankan rundingan untuk membebaskan tawanan akan menghasilkan gencatan senjata yang segera dan berpanjangan di Gaza, yang akan memudah cara peningkatan tambahan bantuan kemanusiaan ke seluruh Gaza dan membawa kepada pengakhiran persengketaan.

"Penduduk Gaza akan dapat pulang ke rumah dan tanah mereka dengan persiapan terlebih dahulu bagi memastikan penyediaan perlindungan dan kemanusiaan," kata mereka.

Perdana Menteri Srettha Thavisin dalam hantarannya di laman X menyeru kepada pembebasan segera semua tebusan, termasuk lapan warga Thailand.


"Saya melihat ini sebagai isu kemanusiaan yang perlu disegerakan dan akan terus melakukan apa yang diperlukan untuk keselamatan dan pembebasan warga Thailand supaya mereka dapat pulang ke tanah air secepat mungkin," katanya.

-- BERNAMA