BANGKOK: Thailand merancang untuk memperluas kemudahan kawalan pasport automatik di Lapangan Terbang Suvarnabhumi kepada pengembara daripada 31 lagi negara menjelang akhir bulan Ogos.
Langkah itu berpotensi membolehkan lebih separuh daripada ketibaan antarabangsa menggunakan sistem tersebut.
Timbalan Jurucakap Kerajaan Lalida Persvivatana berkata langkah itu, yang telah dipersetujui secara prinsip oleh Biro Imigresen dan tertakluk pada penyelesaian proses penandatanganan, dijangka dapat mengurangkan kesesakan di lapangan terbang berkenaan.
Lapangan terbang tersebut mengendalikan kira-kira 190,000 penumpang setiap hari semasa musim puncak pelancongan, termasuk sekitar 70,000 ketibaan antarabangsa.
Beliau berkata pada waktu puncak antara 1 tengah hari petang hingga 5 petang, sehingga 5,000 hingga 6,000 penumpang sejam mungkin memasuki kawasan imigresen.
Perluasan sistem itu dijangka membolehkan kira-kira 6.5 juta penumpang tambahan menggunakan pintu pagar automatik (auto gate), selain sekitar 900,000 pemegang visa jangka panjang tertentu.
"Jika beroperasi sepenuhnya, kira-kira 53 peratus penumpang yang tiba dijangka dapat menggunakan sistem automatik tersebut," katanya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Suphajee Suthumpun yang juga Menteri Perdagangan bersama Menteri Pelancongan dan Sukan Surasak Phancharoenworakul, Timbalan Menteri Pengangkutan Siriphong Angkasakulkiat, serta agensi berkaitan, telah melawat lapangan terbang tersebut bagi membincangkan langkah-langkah untuk melancarkan prosedur imigresen dan menambah baik kemudahan penumpang.
Lalida menjelaskan bahawa pelaksanaan langkah ini akan dilakukan secara berperingkat berdasarkan kesediaan peralatan, aspek keselamatan dan data biometrik, manakala pelawat yang pertama kali berkunjung masih perlu menjalani pendaftaran biometrik.
"Matlamatnya bukan sekadar memendekkan masa beratur, malah untuk memastikan pengalaman pelancong, bermula dari saat mereka turun dari pesawat, berjalan dengan mudah, pantas, dan selamat," kata Lalida.
Beliau berkata mesyuarat itu turut membincangkan usaha memperluas ruang menunggu dan transit penumpang serta pembangunan infrastruktur jangka panjang bagi menampung peningkatan jumlah penumpang dan menyokong daya saing sektor pelancongan Thailand.
Dilaporkan bahawa dari 1 Jan hingga 18 Julai, Thailand telah menerima kira-kira 17.36 juta pelancong asing.
-- BERNAMA