BANGKOK: Parti Move Forward (MFP), pemenang terbesar dalam Pilihan Raya Umum Thailand tidak akan menyokong dan mengundi bekas sekutunya, calon perdana menteri Parti Pheu Thai apabila Parlimen bersidang, kerana ia bertentangan dengan suara rakyat.

Setiausaha Agung MFP Chaithawat Tulathon berkata keputusan itu dipersetujui sebulat suara oleh semua Ahli Parlimen (MP) pada mesyuarat hari ini.

"Pembentukan kerajaan kini bercanggah dengan suara rakyat," menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah bahawa MFP tidak akan menyokong kerajaan gabungan pimpinan Pheu Thai yang bersekutu dengan parti pro-tentera.

MFP, yang memenangi 151 kerusi telah gagal dalam usahanya untuk membentuk kerajaan berikutan rancangannya untuk meminda undang-undang yang menjadikan penghinaan kepada raja sebagai jenayah, terutamanya Perkara 112 kanun jenayah atau lese-majeste.

Parti Pheu Thai, yang menduduki tempat kedua dalam pilihan raya umum 14 Mei dengan 141 kerusi keluar daripada gabungan bersama MFP awal bulan ini.

Parti itu kini membentuk dan mengetuai gabungan dengan lapan parti lain, termasuk Parti Bhumjaithai, dalam usaha untuk memecahkan kebuntuan politik untuk membentuk kerajaan baharu.

Pada masa ini, gabungan diketuai Pheu Thai mempunyai 238 kerusi dalam Dewan Perwakilan yang dianggotai 500 orang.

Bagaimanapun, calonnya memerlukan sekurang-kurangnya 376 undi daripada 750 ahli dwidewan, termasuk sokongan daripada 250 Senator untuk membentuk kerajaan.

Pheu Thai dijangka mencalonkan usahawan hartanah Srettha Thavisin sebagai perdana menteri.

Sementara itu, pemimpin Parti Pheu Thai, Cholnanan Srikaew berkata parti itu menghormati keputusan MFP.

Beliau berkata parti itu yakin akan menerima lebih 375 undi bagi memastikan pemilihan calon perdana menteri dan pembentukan kerajaan seterusnya.

"Kami akan bekerjasama dengan semua pihak," katanya.

Timbalan ketua Pheu Thai, Phumtham Wechayachai berkata parti itu tidak mempunyai pilihan selain bergabung dengan dua parti yang disokong junta - United Thai Nation dan Palang Pracharath dalam usaha mengelak pembentukan kerajaan minoriti, lapor The Nation.

Sidang Parlimen dijangka diadakan pada 18 Ogos atau 22 Ogos.

-- BERNAMA