Thailand mengucapkan tahniah kepada rakyat Amerika Syarikat (AS) atas pemilihan Donald Trump sebagai presiden AS ke-45 dan berikrar untuk bekerjasama rapat bagi meningkatkan perkongsian Thailand-AS.

Kementerian Luar Thailand dalam satu kenyataan hari ini berkata kedua-dua negara menikmati hubungan mesra dalam catatan sejarah yang lama menjangkau 183 tahun.

"Kerjasama kita bersifat pelbagai hala mencakupi bidang-bidang kepentingan bersama dan kedua-dua pihak komited untuk bekerjasama secara konstruktif," kata kenyataan itu.

Trump, calon parti Republikan dan ahli perniagaan yang berjaya menewaskan lawannya dari Parti Demokrat Hillary Rodham Clinton, yang juga bekas Setiausaha Negara AS dalam pemilihan presiden hari ini.

Beliau menggantikan Presiden ke-44, Barack Obama.

-- BERNAMA