BANGKOK: Kabinet Thailand pada Selasa meluluskan langkah bagi mencegah kebocoran data peribadi yang berpunca daripada kebocoran maklumat log masuk, termasuk mengarahkan penetapan semula kata laluan serta pelaksanaan pengesahan berbilang faktor secara mandatori di semua agensi kerajaan, lapor Xinhua.
Langkah yang dicadangkan Jawatankuasa Keselamatan Siber Kebangsaan itu bertujuan memperkukuh perlindungan data peribadi dan mengurangkan ancaman siber terhadap sektor awam secara sistematik, kata jurucakap kerajaan Rachada Dhnadirek.
Dalam satu kenyataan, Rachada berkata pegawai dan kakitangan di lebih 300 jabatan kerajaan diwajibkan menukar kata laluan mereka dengan segera bagi menghalang penggunaan pangkalan data yang sebelum ini telah dibocorkan untuk tujuan penyamaran identiti.
Beliau berkata semua kementerian dan jabatan diberi tempoh 15 hari untuk menyemak lebih 30,000 sistem maklumat di bawah seliaan masing-masing serta menutup secara kekal akses bahagian belakang sistem bagi mana-mana sistem lama atau yang tidak lagi digunakan.
Menurutnya, banyak agensi menganggap laman web yang ditutup sudah memadai, sedangkan sistem bahagian belakang masih beroperasi dan mewujudkan kelemahan keselamatan.
Kabinet turut memberi kuasa kepada Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan untuk bertindak di bawah Akta Keselamatan Siber bagi mengarahkan entiti kerajaan dan swasta mematuhi langkah berkenaan.
Jurucakap itu berkata langkah tersebut akan meningkatkan keyakinan orang ramai, komuniti perniagaan dan pelabur, selain menyelaraskan piawaian keselamatan siber Thailand dengan standard antarabangsa.
-- BERNAMA-XINHUA