Skip to main content

Dunia

Thaksin Shinawatra bebas secara parol 11 Mei selepas jalani dua pertiga hukuman

71707218748_ThaksinShinawatra.jpg
Jawatankuasa memutuskan bahawa Thaksin (foto) tidak perlu memakai peranti pemantauan elektronik berikutan statusnya sebagai banduan warga emas yang menghidap penyakit kronik. -Gambar fail

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, dilulus untuk dibebaskan secara parol pada 11 Mei ini selepas menjalani dua pertiga daripada hukuman penjara setahun yang dikenakan ke atasnya.

Keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa parol peringkat Kementerian Kehakiman Thailand dalam satu mesyuarat, di sini, hari ini.

Advertisement

Menurut laporan media tempatan, jawatankuasa berkenaan memutuskan bahawa Thaksin, 76, tidak perlu memakai peranti pemantauan elektronik berikutan statusnya sebagai banduan warga emas yang menghidap penyakit kronik.

Beliau akan dibenarkan pulang ke kediamannya, Ban Chan Song La, di daerah Bang Phlat, di sini, dan perlu melaporkan diri kepada pegawai parol mengikut jadual ditetapkan sehingga tempoh hukuman berakhir pada 9 September ini.

Thaksin mula menjalani hukuman penjara setahun di Penjara Pusat Klong Prem pada 9 September 2025 selepas Mahkamah Agung memutuskan tempoh rawatan selama enam bulan di hospital sebelum itu tidak boleh dikira sebagai sebahagian daripada tempoh tahanan sah.

Bekas pemimpin berpengaruh itu pulang ke Thailand pada 2023 selepas bertahun-tahun hidup dalam buangan.

Beliau pada asalnya dijatuhi hukuman penjara lapan tahun atas pertuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, sebelum tempoh hukuman berkenaan diringankan kepada setahun melalui pengampunan diraja.

Walaupun bakal dibebaskan secara parol, Thaksin masih berdepan beberapa cabaran undang-undang lain, termasuk pendengaran mahkamah berkaitan kes menghina institusi diraja yang dijadualkan berlangsung pada 19 Ogos ini.

Pembebasan beliau dijangka terus menjadi tumpuan dalam landskap politik Thailand, memandangkan pengaruh Thaksin yang masih kuat terhadap dinamika politik negara itu.

Must Watch Video