Skip to main content

Politik

MIC sah bertanding empat kerusi di PRN Johor

KUALA LUMPUR, 16 Jun -- Naib Presiden MIC Datuk T. Murugiah bercakap ketika sidang media mengenai Sambutan Ulang Tahun MIC ke-80 di Ibu Pejabat MIC hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
T. Murugiah bercakap ketika sidang media mengenai Sambutan Ulang Tahun MIC ke-80 di Ibu Pejabat MIC hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: MIC diperuntukkan empat kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Naib Presiden Datuk T. Murugiah.

Beliau berkata perkara itu disahkan Presiden MIC Tan Sri SA. Vigneswaran yang menghadiri perbincangan mengenai PRN Johor dan Negeri Sembilan bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

“Buat masa ini, presiden menyatakan kami bertanding empat kerusi di Johor manakala (bagi PRN) Negeri Sembilan (jumlah kerusi yang bakal ditandingi MIC) belum diputuskan.

“Persiapan untuk perkara itu sedang dilakukan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat mengenai Sambutan Ulang Tahun MIC ke-80 di Ibu Pejabat MIC di sini hari ini.

Beliau berkata bagi memantapkan dan memperkemaskan jentera, parti akan menganjurkan latihan dua hari kepada kira-kira 150 penceramah di Johor Bahru pada hujung minggu ini bagi membolehkan mereka menyampaikan maklumat yang tepat apabila berkempen kepada masyarakat India di kesemua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor nanti. 

“Mereka akan diberikan latihan tentang cara berucap dan mesej yang perlu disampaikan sebelum ditugaskan untuk berceramah di kesemua 56 DUN yang ditandingi BN bagi menarik sokongan masyarakat India.

“Kami perlu berhati-hati dengan naratif yang disampaikan kerana BN masih dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional,” katanya. 

Pada PRN Johor ke-15, Mac 2022, MIC menang tiga daripada empat kerusi yang ditandingi, iaitu Kemelah, Kahang dan Tenggaroh manakala tewas di Bukit Batu. 

Sementara itu, menurut sumber dalaman parti, MIC akan kekal bertanding di Kemelah, Kahang dan Bukit Batu pada PRN kali ini manakala kerusi Tenggaroh ditukar dengan UMNO bagi bertanding di Perling. 

“Boleh dijangkakan 50 peratus calon baharu di PRN Johor kali ini. Bagi PRN Negeri Sembilan, MIC ada peluang bertanding di dua kerusi,” menurut sumber berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai sebagai hari mengundi bagi PRN Johor dengan 27 Jun sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi PRN Negeri Sembilan, SPR menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian, 18 Julai sebagai hari penamaan calon dan pengundian awal pada 28 Julai.

Terdahulu, mengenai Sambutan Ulang Tahun MIC ke-80, Murugiah berkata MIC akan menganjurkan pertandingan sukan di 152 kawasan di seluruh negara pada Sabtu ini.

Beliau yang menjemput rakyat daripada pelbagai kaum menyertai pertandingan sukan berkenaan berkata antara sukan yang dianjurkan ialah bola sepak, badminton, boling, karom dan mendaki. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement