Skip to main content

Dunia

Trump kritik Netanyahu, gesa ubah strategi perang Lubnan

U.S. President Donald Trump gestures as he speaks in the Oval Office at the White House in Washington, D.C., U.S., June 11, 2026. REUTERS/Daniel Heuer
Trump (foto) turut mengkritik operasi ketenteraan rejim Zionis di negara berkenaan dengan menyifatkan pertempuran menentang kumpulan Hezbollah sudah berlarutan terlalu lama sehingga mengorbankan terlalu banyak nyawa orang awam yang tidak berdosa. -Gambar fail/Reuters

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu perlu memikul tanggungjawab yang lebih besar berhubung situasi konflik bersenjata di Lubnan, lapor Al Jazeera.

Trump turut mengkritik operasi ketenteraan rejim Zionis di negara berkenaan dengan menyifatkan pertempuran menentang kumpulan Hezbollah sudah berlarutan terlalu lama sehingga mengorbankan terlalu banyak nyawa orang awam yang tidak berdosa.

"Anda tidak perlu meruntuhkan sesebuah bangunan rumah pangsa setiap kali anda sedang memburu seseorang, kerana terdapat ramai orang di dalam bangunan tersebut -- dan mereka bukannya semua ahli Hezbollah," kata Trump kepada pemberita hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun mengekalkan hubungan yang baik dengan Netanyahu sebelum ini, pemimpin Israel itu perlu mengubah pendekatan ketenteraannya bagi mengelakkan pertumpahan darah yang lebih teruk.

Dalam pada itu, Trump turut mendakwa bahawa tanpa sokongan mutlak daripada pentadbirannya, negara Israel tidak akan wujud pada hari ini kerana tiada mana-mana Presiden AS sebelum ini yang sanggup bertindak agresif demi mempertahankan sekutu kuat mereka itu.

Sebagai langkah penyelesaian alternatif, Trump mendedahkan beliau telah menyarankan kepada pihak Israel supaya membiarkan kerajaan Syria menguruskan ancaman daripada kumpulan Hezbollah di wilayah berkenaan.

"Saya menyarankan kepada Israel untuk membiarkan Syria menguruskan Hezbollah kerana sejujurnya, saya fikir mereka mampu melakukan tugas berkenaan dengan jauh lebih baik," tambah beliau lagi.

Kenyataan terbuka Trump ini menandakan keretakan baharu dalam hubungan diplomatik antara Washington dan Tel Aviv, yang menyusul sejurus selepas pengumuman memorandum persefahaman (MoU) antara AS dan Iran bagi membuka semula laluan Selat Hormuz.

 

Must Watch Video

Advertisement