Tidak terdapat cawangan IS (Islamic States) di Thailand berdasarkan risikan dan maklumat yang diterima oleh agensi keselamatan negara berkenaan.

Semua agensi keselamatan berkaitan telah mengikuti dari dekat maklumat berita yang boleh menjejas keselamatan Thailand.

Mereka juga memantau berita termasuk laporan bahawa ada pihak di Malaysia merancang menubuhkan sebuah cawangan rasmi IS di Asia Tenggara, kata Jeneral Thawip Netniyom, Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Nasional Thai (NSC).

Beliau berkata terdapat enam kumpulan pengganas di rantau berkenaan; tiga yang besar ialah Abu Sayyaf, Jemaah Islamiyah dan Al Qaeda.

"Kami dapati wujud idea yang berbeza di kalangan kumpulan itu dalam usaha hendak menubuhkan cawangan rasmi IS atau kumpulan mana yang harus menubuhkannya," kata beliau pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Beliau berkata Thailand sentiasa bertukar-tukar maklumat risikan mengenai kumpulan pengganas dengan negara-negara jiran.

Mengenai kumpulan pemisah yang beroperasi di wilayah-wilayah di sempadan Thailand selatan, beliau berkata tidak terdapat tanda-tanda mereka cuba mengadakan hubungan dengan kumpulan itu.

Pemberontak di sempadan di Thailand selatan tidak menganut kepercayaan yang sama seperti IS, oleh itu mereka mempunyai matlamat yang berbeza, kata beliau.