DUNIA
Tiada pasukan ditarik keluar dari wilayah Kemboja - Kementerian Pertahanan

Tentera Kemboja sedia sokong usaha rundingan sempadan yang sedang berjalan dengan Thailand, khususnya menerusi Suruhanjaya Sempadan Bersama. - Gambar AP
PHNOM PENH: Kementerian Pertahanan Kemboja pada Isnin menegaskan, pasukan tenteranya tidak ditarik keluar dari mana-mana kawasan yang berada dalam kedaulatan negara itu.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, tentera Kemboja bersedia menyokong usaha rundingan sempadan yang sedang berjalan dengan Thailand, khususnya menerusi Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC).
Kementerian itu turut memaklumkan bahawa tentera Kemboja bersedia untuk meneruskan kerja-kerja penandaan dan penempatan batu sempadan di kawasan yang belum diselesaikan - tidak termasuk kawasan yang akan dibawa oleh Kemboja ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
"Pasukan Kemboja tidak ditarik keluar dari mana-mana kawasan dalam kedaulatan Kemboja yang telah menjadi lokasi penempatan mereka sejak sekian lama."Semua persiapan ketenteraan - termasuk penugasan, penempatan, pelarasan dan mobilisasi - dilaksanakan sepenuhnya dalam wilayah Kemboja," menurut kenyataan itu.
Kemboja dan Thailand dijangka membincangkan isu sempadan yang sensitif ini dalam Mesyuarat JBC yang akan diadakan di Phnom Penh pada 14 Jun.
Ketegangan antara kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu meningkat susulan kematian seorang sarjan Kemboja berusia 48 tahun dalam insiden tembak-menembak antara kedua-dua pasukan tentera pada 28 Mei lalu.
Kejadian itu berlaku di wilayah Preah Vihear di kawasan Segi Tiga Zamrud - sempadan yang menghubungkan Kemboja, Laos dan Thailand.
Kerajaan Kemboja bertekad untuk membawa pertikaian berkaitan Kuil Ta Moan Thom, Kuil Ta Moan Tauch, Kuil Ta Krabei dan kawasan Mom Bei ke ICJ dan tidak membincangkannya secara dua hala.
Kementerian itu turut menegaskan bahawa Angkatan Tentera Kemboja kekal komited dalam menyokong penyelesaian secara aman bagi isu sempadan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami