Skip to main content

Dunia

Tiada rundingan dengan Iran sedang berlangsung atau dijadualkan - Trump

U.S. President Donald Trump attends an event to sign executive orders related to birthright citizenship and the polysilicon industry, in the Oval Office at the White House in Washington, D.C., U.S., August 6, 2026. REUTERS/Evelyn Hockstein
Trump menegaskan Selat Hormuz kekal dibuka di bawah sekatan laut Washington. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa berkata tiada rundingan dengan Iran sedang berlangsung atau dirancang, sambil menegaskan Selat Hormuz kekal dibuka di bawah sekatan laut Washington, lapor Anadolu Ajansi.

“Tiada rundingan atau perbincangan sedang berlangsung atau dijadualkan dengan Iran. 

“Sekatan laut kekal berkuat kuasa sepenuhnya. Selat Hormuz dibuka dan beroperasi. Semua periuk api laut telah dialihkan atau diletupkan,” kata Trump menerusi platform Truth Social.

CNN pada Selasa, memetik seorang pegawai AS melaporkan Trump mengarahkan utusan kanan pentadbirannya supaya menghentikan perbincangan dengan Iran.

Laporan itu menyebut pegawai berkata arahan Trump kepada pasukan perundingnya iaitu Naib Presiden JD Vance serta utusan Steve Witkoff dan Jared Kushner supaya tidak berhubung dengan Tehran selepas beberapa “perbincangan positif” dengan negara berkenaan.

Kushner berada di Israel pada Isnin untuk bertemu Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bagi membincangkan isu serantau termasuk Semenanjung Gaza.

Selepas pertemuan itu, beliau memberitahu Fox News bahawa komunikasi antara AS dan Iran kini “lebih kukuh” berbanding sebelum ini.

Tehran dan Washington bersetuju dengan gencatan senjata pada April sebelum menandatangani memorandum persefahaman pada Jun yang bertujuan menamatkan konflik ketenteraan antara kedua-dua pihak dan mencapai perjanjian damai berkekalan.

Bagaimanapun, perjanjian itu gagal bulan lepas apabila Iran dan AS saling melancarkan serangan selama hampir dua minggu sebelum Trump menghentikan pengeboman ketika usaha sedang dilakukan untuk menghidupkan semula perjanjian berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement