GUA MUSANG: Seorang lelaki Orang Asli cedera selepas diserang seekor beruang dalam kejadian di Kampung Guh, Pos Tohoi, di sini semalam.
Mangsa, Asmir Alang, 19, mengalami kecederaan di bahagian kaki kanan dan tangan kiri akibat serangan haiwan liar itu.
Advertisement
Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, DSP Azlan Che Abdullah berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 9.58 malam dan siasatan awal mendapati mangsa bersama lima rakannya masuk ke kawasan hutan berhampiran untuk mencari herba.
“Ketika sedang mencari kawasan untuk berehat, mereka terserempak dengan dua ekor beruang. Mangsa dipercayai panik dan bertindak memanjat pokok sebelum seekor beruang yang dipercayai ibu beruang menggigit mangsa di bahagian kaki kanan dan tangan kiri.
“Rakan mangsa kemudian bertindak memukul beruang berkenaan sebelum haiwan itu melarikan diri bersama anaknya dan mangsa dibawa ke Klinik Kuala Betis untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Unit Kecemasan Hospital Gua Musang bagi rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, bapa saudara mangsa, Eddry Chali, 41, berkata ketika kejadian mangsa bersama lima saudaranya ke hutan untuk mencari herba dan hasil hutan bagi ibunya yang sakit.
Eddry berkata mereka bergerak menaiki motosikal dari rumah pada 9.15 pagi dan tiba di lokasi kejadian sekitar 12 tengah hari sebelum diserang beruang yang membawa anak.
“Dalam usaha membawa mangsa keluar dari hutan, kami terserempak dengan kenderaan pacuan empat roda Tenaga Nasional Berhad dan meminta bantuan untuk menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Kuala Betis sebelum dirujuk ke Hospital Gua Musang.
Eddry berkata laporan telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berhubung kejadian itu.
-- BERNAMA