WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menegaskan Washington tidak berada dalam keadaan terdesak untuk memeterai perjanjian dengan Tehran meskipun pelbagai usaha diplomatik sedang dijalankan bagi meredakan ketegangan yang tercetus susulan konflik melibatkan AS, Israel dan Iran.
Dalam wawancara dengan Al Jazeera, Trump berkata pentadbirannya percaya tekanan ekonomi dan tindakan ketenteraan sama-sama berkesan dalam mempengaruhi Iran, sekali gus mengurangkan keperluan untuk mempercepatkan rundingan.
“Kami tidak tergesa-gesa,” katanya, sambil memberi isyarat bahawa Washington akan terus mengekalkan tekanan ke atas Tehran ketika rundingan berhubung masa depan hubungan kedua-dua negara masih berlangsung.
Kenyataan itu dibuat ketika Iran menegaskan bahawa isu pembukaan semula Selat Hormuz masih bergantung kepada tindakan AS memenuhi komitmen yang dipersetujui sebelum ini.
Timbalan Menteri Luar Iran bagi Hal Ehwal Undang-undang dan Antarabangsa, Kazem Gharibabadi, berkata laluan perkapalan strategik itu kekal ditutup walaupun Tehran dan Oman telah mencapai satu perjanjian transit sementara.
Menurut beliau, Iran hanya akan mempertimbangkan pembukaan penuh selat berkenaan selepas Washington kembali mematuhi komitmen yang terkandung dalam memorandum persefahaman bertarikh 17 Jun.
Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan tenaga paling penting di dunia dan sebarang gangguan di kawasan itu berpotensi menjejaskan aliran bekalan minyak global.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Negara AS berkata pihaknya sedang mengambil langkah lanjut untuk meningkatkan tekanan terhadap Iran dengan menyasarkan sumber kewangan yang masih boleh digunakan oleh negara itu.
Menurut jabatan berkenaan, Washington akan meneruskan tindakan susulan selepas sekatan terbaharu yang dikenakan ke atas Tehran, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menangani apa yang disifatkannya sebagai ancaman berterusan daripada Iran.
Pada masa yang sama, Qatar meneruskan usaha diplomatik bagi mengurangkan ketegangan antara kedua-dua pihak.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar mengumumkan bahawa Perdana Menteri merangkap Menteri Luar negara itu, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani, akan mengadakan lawatan ke Tehran pada Khamis.
Beliau dijadual bertemu pegawai kanan Iran bagi membincangkan langkah-langkah mengurangkan ketegangan serta mewujudkan suasana yang lebih sesuai untuk dialog dan penyelesaian diplomatik.
Lawatan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha negara-negara serantau untuk mengelakkan konflik daripada terus berlarutan dan menjejaskan kestabilan Asia Barat.