KUANTAN: Tiga kilang dikompaun dengan RM34,500 ringgit kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, malam tadi.

Kompaun dikeluarkan hasil Operasi Bersepadu bersama 12 Agensi berkaitan yang membabitkan lima buah Kilang di kawasan dikenakan PKPD sejak 8 Jun sehingga 21 Jun ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (Pembangunan), Datuk Razihan Azaruddin berkata, dalam operasi tersebut, pihaknya mendapati tiga kilang berkenaan telah didapati beroperasi lebih masa dan pelanggaran Akta Buruh.

Kompaun dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Daerah Kuantan mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dan Majlis Bandaraya Kuantan.

SUPER : Datuk Razihan Azaruddin / Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (Pembangunan)

"Setiap satu kilang kita kenakan sebanyak dua kompaun masing-masing iaitu RM1,500 dan RM10,000. Jadi setiap satu dikenakan kompaun RM11,500.

"Jadi jumlah kompaun kita kenakan malam tadi adalah RM34,500 atas pelbagai kesalahan antara lain beroperasi lebih masa dan ada juga pelanggaran terhadap Akta Buruh. Terdapat seorang pekerja yand didapati bekerja lebih 12 jam," katanya.

Jelas beliau, mengikut SOP PKPD, kilang tersebut hanya dibenarkan beroperasi dari 8 pagi sehingga 8 malam.

Operasi selama empat jam itu turut disertai 12 agensi penguatkuasa antaranya Jabatan Kesihatan Daerah Kuantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Tenaga Kerja, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Bandaraya Kuantan.

Katanya lagi, operasi berkenaan akan dijalankan secara berterusan selain mengingatkan pihak kilang agar mematuhi garis panduan SOP yang telah ditetapkan bagi memutuskan penularan wabak COVID-19.