DUNIA
Tiga maut, 10 cedera dalam kebakaran loji petrokimia di selatan Iran

Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 10 lagi cedera dalam satu kebakaran besar di sebuah loji petrokimia di selatan Iran pada Rabu. - Gambar fail/hiasan
TEHRAN: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 10 lagi cedera dalam satu kebakaran besar di sebuah loji petrokimia di selatan Iran pada Rabu, menurut media tempatan.
Menurut Anadolu Ajansi, kebakaran itu berlaku kira-kira pukul 11:03 pagi waktu tempatan (0733 GMT) di Loji Petrokimia Metanol Kavian di Wilayah Bushehr, kata pegawai.
Kebakaran bermula daripada tangki simpanan methanol loji itu, disahkan oleh perkhidmatan kecemasan dan perubatan Bushehr, dengan amaran bahawa jumlah korban mungkin meningkat semasa operasi menyelamat diteruskan.
Ketua Jabatan Kecemasan Pra-Hospital wilayah itu, Dr Seyed Hossein Mousavi memberitahu Agensi Berita Republik Islam (IRNA) bahawa kebakaran itu meluas dan yang cedera telah dipindahkan ke hospital di seluruh wilayah.Punca kebakaran masih belum diketahui, dengan siasatan awal sedang dijalankan.
Terletak di Bandar-e Deyr, Bushehr, Loji Petrokimia Kavian ditubuhkan pada 2012 dan merupakan satu daripada pengeluar etilena utama Iran.
Unit Fasa II-nya merupakan pembekal etilena terbesar di Timur Tengah, dengan kapasiti pengeluaran tahunan melebihi satu juta tan.
Loji ini adalah sebahagian daripada hab petrokimia Bushehr yang lebih luas, bertanggungjawab untuk hampir 80 peratus eksport petrokimia Iran, menurut pegawai tempatan.
Kebakaran ini berlaku hanya beberapa minggu selepas letupan dahsyat di Pelabuhan Shahid Rajaee di selatan Iran, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 70 orang dan mencederakan lebih 1,000 mangsa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami