Skip to main content

Dunia

Tiga maut helikopter persendirian terhempas di Pulau Sifnos, Greece

Sumber: X
Tiga orang maut selepas sebuah helikopter persendirian terhempas di Pulau Sifnos, dalam gugusan Kepulauan Cyclades di Laut Aegean pada Isnin. - Gambar media sosial
Advertisement

ATHENS: Tiga orang maut selepas sebuah helikopter persendirian terhempas di Pulau Sifnos, dalam gugusan Kepulauan Cyclades di Laut Aegean pada Isnin, lapor Xinhua memetik penyiar nasional Greece, ERT.

Helikopter itu terhempas di kawasan Tholos, sebelum kebakaran tercetus di lokasi nahas tidak lama kemudian, menurut Perkhidmatan Bomba.

Tiga mayat ditemukan rentung ketika operasi memadam kebakaran. 

Maklumat awal menunjukkan mangsa terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita, menurut ERT.

Helikopter jenis Bell 206 itu berlepas dari Markopoulo, timur Athens menuju ke Sifnos.

Penduduk memberitahu Timbalan Datuk Bandar Sifnos bahawa mereka terdengar bunyi dentuman kuat beberapa saat sebelum helikopter itu terhempas, menurut ERT.

Pusat operasi Perkhidmatan Bomba dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 6.17 petang waktu tempatan (1517 GMT). 

Dua anggota bomba bersama sebuah jentera dihantar ke lokasi bagi memadam kebakaran dan membantu operasi tindak balas.

Pasukan penyelamat dari Pulau Syros yang berhampiran turut dihantar ke Sifnos  bagi menambah kekuatan anggota yang berada di lokasi.

Butiran lanjut mengenai punca dan keadaan sekitar nahas itu belum diperoleh setakat ini.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement