Tiga tahun lagi Indonesia akan hasilkan kereta buatan sendiri - Prabowo

Presiden Prabowo berucap pada Sidang Kabinet Paripurna di Istana Negara, Jakarta, Indonesia, pada Isnin. - Gambar ihsan X @Prabowo
JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, mengumumkan bahawa kerajaan telah memulakan langkah awal untuk merealisasikan pengeluaran kereta buatan Indonesia dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Ini belum boleh dianggap satu pencapaian, tetapi sudah kita mula rintis. Dalam tiga tahun lagi, Indonesia akan mempunyai kereta buatan sendiri,” katanya ketika berucap pada Sidang Kabinet Paripurna di Istana Negara, di sini, pada Isnin.
Prabowo berkata, kerajaan telah menyediakan peruntukan dana dan tapak kilang bagi projek berkenaan, dan pasukan pembangunan kini sedang giat menjalankan kerja-kerja persiapan.
Beliau turut mendedahkan bahawa Indonesia sebelum ini telah berjaya menghasilkan kenderaan jenis jip yang digunakan oleh pegawai kerajaan dan perwira Tentera Nasional Indonesia (TNI), hasil reka bentuk dan pembuatan dalam negara.Kenderaan yang dimaksudkan ialah jip taktikal ringan “Maung” keluaran PT Pindad, syarikat pertahanan tempatan.
“Sekarang pegawai dan perwira kita berasa bangga kerana tidak lagi menggunakan jip buatan luar negara. Komandan pasukan kita bangga menaiki jip buatan Indonesia sendiri,” kata Prabowo.
Presiden turut menggesa supaya penggunaan jip Maung diperluaskan dalam sektor kerajaan dan ketenteraan.
“Tidak lama lagi semua harus guna Maung. Saya tidak mahu lihat kereta mewah digunakan untuk urusan rasmi. Simpan kereta itu untuk waktu lapang saja,” tegas beliau berseloroh.
Sidang Kabinet Paripurna kali ini diadakan sempena genap setahun pentadbiran Prabowo, dengan kelainan apabila beliau, Naib Presiden, para menteri dan tetamu undangan mengenakan kemeja panjang berwarna coklat, berbeza daripada sesi-sesi sebelum ini yang lazimnya bertemakan putih. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami