HORMOZGAN: Cadangan mengenakan bayaran bagi melalui Selat Hormuz merupakan caj perkhidmatan yang disediakan oleh pihak berkuasa Iran.
Timbalan Speaker Parlimen Iran, Ali Nikzad berkata perkhidmatan tersebut meliputi perlindungan keselamatan, alam sekitar dan pandu arah untuk kapal-kapal.
Advertisement
“Ini merupakan tindakan lazim diamalkan di seluruh dunia,” katanya ketika ditemui pemberita di Pelabuhan Shahid Rajaee, semalam.
Jelasnya, hasil pendapatan akan dimanfaatkan untuk memperkukuh pertahanan Iran, membantu ekonomi rakyat dan membina semula infrastruktur negara.
Beliau turut menyatakan kapal-kapal yang akan melalui Selat Hormuz termaktub kepada undang-undang yang akan dirangka oleh Tehran.
Menurutnya, undang-undang tersebut turut melarang kapal-kapal berkaitan rejim Zionis Israel dan negara-negara sekutu Amerika Syarikat yang bermusuh dengan Republik Islam Iran.
“Kapal yang ingin melalui selat akan berbuat demikian di bawah undang-undang digubal dengan kebenaran yang diperoleh daripada Panglima Tertinggi serta diletakkan di bawah kawalan Angkatan Tentera Iran,” katanya.
Nikzad turut menyanggah cita-cita Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk membuka semula Selat Hormuz selepas melaksanakan sekatan pada 13 April lalu.
“Musuh dibiarkan tidak berdaya, dan walaupun Trump mengisytiharkan beliau akan membuka semula selat yang telah ditutup, beliau tidak mampu melakukannya,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan, Iran tidak akan berundur dan situasi di Selat Hormuz tidak akan kembali kepada keadaan sebelum perang.
Untuk rekod, Iran tidak pernah menyekat mana-mana kapal yang melalui Selat Hormuz sebelum diserang oleh AS dan Israel pada 28 Feb.
Selat Hormuz merupakan perairan antarabangsa yang tertakluk kepada prinsip kebebasan pelayaran di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).
Menurut UNCLOS, pelayaran antarabangsa diberikan hak laluan transit yang membolehkan semua kapal dan pesawat bebas dan berterusan untuk melaluinya tanpa halangan.