Tokyo kini bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan jika Korea Utara melancarkan peluru berpandu yang turut mengancam Amerika Syarikat dan sekutu Korea Selatan.

Menurut Perdana Menteri, Shinzo Abe, kerajaan Jepun akan mengambil segala langkah wajar bagi melindungi rakyat.

Antara persiapan yang dilakukan adalah menggerakkan sistem anti peluru berpandu di lokasi strategik sekitar Tokyo iaitu peluru berpandu patriot atau PAC-3.

Selain itu, pasukan pertahanan juga digerakkan ke semua lokasi sebagai persiapan jika Korea Utara melancarkan peluru berpandunya.

Ancaman terbaru Korea Utara dikeluarkan jawatankuasa keamanan Asia Pasifik yang menyeru semua syarikat asing dan pelancong supaya keluar dari Korea Selatan.

Namun, sehingga kini, masih belum ada sebarang pergerakan besar-besaran syarikat asing dan pelancong keluar dari negara berkenaan.

Sementara itu, penganalisis pertahanan tidak yakin Pyongyang akan melancarkan perang terhadap Korea Selatan sebaliknya melihat ancaman Korea Utara itu hanya sebagai provokasi terhadap tekanan antarabangsa keatasnya.