Skip to main content
Advertisement

Dunia

Tourism Malaysia perluas promosi VM2026 ke Lombok

Pengarah Tourism Malaysia Jakarta Hairi Mohd Yakzan
Hairi berkata kesalinghubungan udara yang semakin baik akan terus menyokong pertumbuhan sektor pelancongan antara kedua-dua negara jiran itu. - Gambar Tourism Malaysia
Advertisement

JAKARTA: Tourism Malaysia memperluas kempen promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) ke Lombok sebagai sebahagian usaha memperkukuh kerjasama dengan pemain industri pelancongan Indonesia serta meningkatkan ketibaan pelancong ke Malaysia.

Pengarah Tourism Malaysia Jakarta Hairi Mohd Yakzan berkata Indonesia kekal sebagai antara pasaran pelancongan utama Malaysia, dengan negara ini menerima 4.3 juta pelawat dari negara itu pada 2025, meningkat 2.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Kami berharap dapat memperkukuh kerjasama dengan pemain industri pelancongan di Lombok, di samping mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan yang saling menguntungkan bagi industri pelancongan Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jerayawara Niaga-ke-Niaga (B2B) Malaysia Tourism Showcase (MATAS) 2026 di Lombok, menurut kenyataan Tourism Malaysia Jakarta pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, Lombok merupakan destinasi terakhir jerayawara MATAS B2B yang turut meliputi Serang, Bandung, Jayapura dan Malang sebagai sebahagian daripada usaha promosi Tourism Malaysia.

Lebih 10 pemain industri pelancongan Malaysia yang mewakili hotel, lokasi tarikan pelancongan dan pengendali pelancongan menyertai jerayawara berkenaan.

Program melibatkan beberapa bandar itu merupakan sebahagian usaha Tourism Malaysia untuk memperluas jaringan kerjasama dengan pemain industri pelancongan di seluruh Indonesia serta menggalakkan lebih ramai rakyatnya memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama menerusi kempen VM2026.

Hairi berkata jerayawara itu dianjurkan untuk mempromosikan VM2026 bertemakan “Surreal Experience” dengan mengetengahkan budaya, warisan, tarikan alam semula jadi, gastronomi dan layanan mesra Malaysia.

Usaha itu menyokong sasaran kempen untuk menarik 47 juta pelancong antarabangsa dan menjana RM329 bilion hasil pelancongan.

Beliau berkata lebih 320 acara dan festival dirancang sepanjang tahun ini termasuk Grand Prix PETRONAS Malaysia, Karnival Jualan Mega Malaysia, Jualan Akhir Tahun Malaysia dan Festival Citrawarna.

Hairi berkata kesalinghubungan udara yang semakin baik akan terus menyokong pertumbuhan sektor pelancongan antara kedua-dua negara jiran itu.

Lebih 669 penerbangan terus beroperasi setiap minggu antara bandar utama Indonesia dengan destinasi di Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Subang, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement