KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menafikan laporan media Iran berhubung terma berkenaan rundingan yang akan dimeterai antara Tehran dan Washington.
Tegasnya, terma yang didakwa dibocorkan itu adalah tidak benar dan tidak mempunyai kaitan dengan perkara yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
“Terma yang dibocorkan Iran kepada media adalah berita palsu langsung tiada kaitan dengan terma yang telah dipersetujui secara bertulis.
“Apa yang mereka katakan, termasuk kenyataan lemah dan menyedihkan itu mengenai kononnya sudah ada perjanjian, langsung tidak mencerminkan kebenaran,” katanya menerusi hantaran di Truth Social hari ini.
Beliau turut menyelar Iran sebagai pihak yang sukar dipercayai dalam rundingan serta mendakwa Tehran tidak menunjukkan komitmen untuk berunding secara jujur dan beritikad baik.
Dalam hantaran yang sama, Trump turut mendakwa serangan dron yang dikaitkan dengan Iran terhadap kapal-kapal India yang sedang meninggalkan Selat Hormuz pada malam sebelumnya berjaya dipatahkan.
“Mereka perlu memperbetulkan keadaan dengan segera,” katanya lagi.
Laporan itu muncul selepas media Iran mendedahkan draf perjanjian 14 perkara yang didakwa sedang dirundingkan antara Tehran dan Washington, namun kandungannya kemudian dipertikaikan oleh Trump.
Menurut laporan Anadolu Ajansi yang memetik agensi berita Mehr hari ini, dokumen tersebut masih tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak berkuasa Iran sebelum boleh diterima pakai secara rasmi.
Mehr melaporkan draf itu mencadangkan penghentian segera dan kekal semua permusuhan di semua medan konflik termasuk di Lubnan sebelum rundingan selama 60 hari bermula.
Dokumen itu turut menetapkan pembukaan semula Selat Hormuz dalam tempoh 30 hari dengan sebarang penyelarasan dilakukan oleh pihak berkuasa Iran.
Dalam aspek ekonomi, Tehran menuntut penggantungan sekatan terhadap sektor minyak dan petrokimia serta akses penuh kepada sumber kewangan negara yang terjejas akibat sekatan Barat.
Draf itu juga menggesa pembebasan aset Iran bernilai AS$24 bilion (kira-kira RM96 bilion) yang dibekukan di luar negara sepanjang tempoh rundingan berlangsung, dengan separuh daripada jumlah itu dicadangkan untuk disalurkan sebelum rundingan akhir bermula.