Ringkasan AI
- Peguam Negara AS, Todd Blanche, enggan mengesahkan sama ada CEO Nvidia, Jensen Huang, pernah disiasat oleh pihak berkuasa persekutuan.
- Pelantikan semula Huang sebagai CEO Nvidia selepas dakwaan hubungan dengan syarikat berkaitan China mengundang kritikan terhadap pentadbiran Trump.
- Kongres AS kini menyiasat hubungan antara pentadbiran Trump dan Nvidia, termasuk isu penjualan cip kecerdasan buatan ke China.
WASHINGTON: Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), Todd Blanche, enggan mengesahkan sama ada Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, pernah menjadi subjek siasatan persekutuan, ketika pentadbiran Presiden Donald Trump berdepan kritikan susulan keputusan mengembalikan beliau ke jawatan itu.
Menurut laporan Al Jazeera, Blanche ketika sidang media di Washington berkata beliau tidak akan mengulas secara terperinci mengenai sebarang siasatan, sambil menegaskan laporan yang tersebar sebelum ini tidak menunjukkan Huang sendiri menjadi sasaran siasatan jenayah.
Kontroversi itu tercetus selepas The New York Times melaporkan pada Oktober bahawa Huang mempunyai hubungan dengan seorang eksekutif syarikat teknologi Megaspeed yang didakwa mempunyai kaitan dengan perisikan China.
Laporan itu turut mendakwa Megaspeed menerima cip semikonduktor daripada Nvidia sebelum ia disalurkan ke China. Beijing bagaimanapun menolak dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai fitnah.
Huang mengakui mempunyai hubungan sulit, termasuk dengan seorang pekerja syarikat, sebelum melepaskan jawatannya pada 12 November.
Namun, beliau dilantik semula sebagai CEO Nvidia minggu ini selepas mendapat sokongan Trump.
Presiden AS itu mendakwa kerajaan tidak mempunyai bukti Huang melakukan sebarang kesalahan dan menegaskan beliau tidak menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara.
Menurut Al Jazeera, keputusan Trump campur tangan dalam pelantikan semula Huang mengundang kritikan daripada ahli politik Demokrat dan Republikan yang mempersoalkan ketelusan proses penilaian keselamatan.
Ketua Demokrat di Senat, Chuck Schumer, turut mengumumkan siasatan Kongres terhadap hubungan antara pentadbiran Trump dan Nvidia, termasuk perjanjian berkaitan penjualan cip kecerdasan buatan (AI) ke China.
Blanche mempertahankan pendirian pentadbiran itu dengan menyatakan bahawa sesuatu semakan atau penelitian oleh pihak berkuasa tidak semestinya membawa kepada siasatan jenayah atau pendakwaan.