INTERNATIONAL
Trump dakwa Putin ‘gila' selepas serangan udara besar-besaran ke atas Ukraine

Donald Trump (kanan) mendakwa Vladimir Putin, telah “gila” selepas melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Ukraine. - Gambar fail
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Presiden Rusia, Vladimir Putin, telah “gila” selepas melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Ukraine.
Trump turut memaklumkan, beliau sedang mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan baharu terhadap Moscow.
Kenyataan itu dimuat naik oleh Trump di platform media sosial miliknya, Truth Social, pada Isnin.
Dalam masa yang sama, Trump turut mengkritik Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, dengan mendakwa bahawa cara percakapan pemimpin itu hanya menimbulkan lebih banyak masalah.Mengulas kenyataan Trump, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, pihaknya menghargai usaha rakyat Amerika Syarikat dan Trump dalam mendorong rundingan damai antara kedua-dua negara.
Namun, beliau menyifatkan kenyataan tersebut dibuat dalam keadaan penuh emosi.
Sementara itu, Tentera Udara Ukraine melaporkan bahawa serangan terbaharu Rusia telah menyasarkan lima lokasi berbeza.
Antara yang menjadi sasaran termasuk wilayah Khmelnytskyi, yang menempatkan sebuah pangkalan udara tentera. Serangan itu melibatkan tujuh peluru berpandu jelajah dan puluhan dron.
Kementerian Pertahanan Rusia mengesahkan bahawa serangan tersebut menyasarkan Pangkalan Udara Starokostiantyniv di wilayah Khmelnytskyi.
Rusia mendakwa, tindakan itu adalah sebagai tindak balas terhadap serangan Ukraine ke atas sasaran awam di Moscow. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami