Skip to main content

Dunia

Trump janji keluarkan Vietnam daripada senarai kawalan eksport strategik

81627273880_HanoiVietnam.jpg
Menurut Trump, AS menganggap Vietnam sebagai rakan penting di rantau ini. - Gambar fail

ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, berikrar untuk mengarahkan agensi berkaitan supaya segera mengeluarkan Vietnam daripada “senarai kawalan eksport strategik” semasa pertemuan dengan To Lam, Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, di Washington pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut kenyataan dari Hanoi pada Sabtu, To Lam menekankan kepentingan yang diberikan Hanoi untuk memajukan Perkongsian Strategik Menyeluruh Vietnam-AS secara “stabil, substantif dan berkesan.”

Advertisement

Beliau mencadangkan kedua-dua negara meningkatkan pertukaran delegasi dan hubungan peringkat tinggi.

Beliau menekankan “keperluan untuk dialog yang jujur dan substantif mengenai isu-isu tertunggak, berdasarkan kepentingan yang seimbang dan selaras dengan syarat dan kepentingan sah setiap pihak, serta demi manfaat perniagaan dan rakyat kedua-dua negara.”

Trump pula menurut kenyataan itu, “menzahirkan kasih sayangnya terhadap rakyat Vietnam dan menegaskan bahawa AS komited untuk menyokong Vietnam yang ‘kuat, bebas, berdikari, dan sejahtera’.”

Beliau turut menghargai usaha Vietnam menyeimbangkan perdagangan dua hala dan menyambut baik kontrak berharga yang ditandatangani semasa lawatan itu. Trump memberi respons positif terhadap cadangan Vietnam untuk kerjasama dalam bidang ekonomi serta sains dan teknologi.

“AS menganggap Vietnam sebagai rakan penting di rantau ini,” menurut kenyataan itu memetik Trump, sambil menambah beliau memuji “peranan dan suara Vietnam yang semakin menonjol di forum serantau dan pelbagai hala.”

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video