WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi menggesa syarikat minyak menurunkan harga petrol untuk pengguna AS, sambil mengkritik Chevron kerana didakwa gagal mengiktiraf usaha pentadbirannya dalam membantu industri minyak ketika harga bahan api terus meningkat.
Dalam kenyataannya pada Isnin, Trump menyasarkan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Chevron, Mike Wirth, dengan mendakwa syarikat itu mendapat manfaat besar hasil dasar pentadbirannya.
Menurut Trump, tanpa kepimpinan serta dasar yang diperkenalkan oleh pentadbirannya, industri minyak AS berdepan risiko kemerosotan serius.
“Perkara yang beliau terlupa untuk sebut ialah tanpa kebijaksanaan, pandangan jauh, kekuatan dan kestabilan Pentadbiran Trump, industri minyak dan negara ini sendiri akan lumpuh,” kata Trump.
Beliau turut merujuk kepada operasi Chevron di Venezuela yang sebelum ini terjejas tetapi kini kembali berkembang.
“Perkara yang sama terpakai kepada syarikat minyak lain. Turunkan harga minyak untuk pengguna (runcit) sekarang,” tegasnya.
Harga petrol di AS meningkat sejak tercetusnya konflik AS-Israel dengan Iran pada 28 Februari lalu.
Desakan Trump supaya harga bahan api diturunkan hadir ketika beliau berdepan kritikan berhubung keputusan melancarkan perang terhadap Iran serta kesannya terhadap kos sara hidup rakyat AS menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November.
Bagaimanapun, harga minyak dunia mencatat penurunan pada Isnin selepas Trump memaklumkan bahawa satu perjanjian dengan Iran semakin hampir dicapai dan rundingan baharu dijangka dimulakan.
Minyak mentah Brent, penanda aras utama global, didagangkan pada paras AS$82.91 setong setakat 11.59 pagi GMT pada Isnin, susut lima peratus berbanding sehari sebelumnya dan hampir 18 peratus lebih rendah berbanding kemuncak AS$101 setong yang dicatat bulan lalu.
Trump sebelum ini berulang kali menyatakan harga bahan api akan “jatuh seperti batu” selepas konflik dengan Iran berakhir.
Namun, beberapa ahli ekonomi mempertikaikan dakwaan itu dan menjangkakan kesan ekonomi yang lebih berpanjangan akibat peperangan berkenaan.
Perkembangan terbaharu mengenai kemungkinan rundingan berlaku selepas Trump membatalkan apa yang disifatkannya sebagai “serangan terbesar sejak Perang Dunia Kedua” terhadap Iran susulan permintaan Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), dengan alasan parameter bagi satu perjanjian telah dipersetujui.
Melalui platform media sosial Truth Social, Trump menyatakan antara syarat perjanjian itu ialah pembukaan segera, sepenuhnya dan menyeluruh Selat Hormuz serta penamatan ancaman nuklear Iran.
Bagaimanapun, beliau tidak memberikan perincian lanjut mengenai rundingan tersebut.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, berkata perbincangan ketika ini hanya melibatkan isu pengurusan Selat Hormuz bersama Oman dan tiada rundingan sedang berlangsung atau dirancang dengan AS.
Percanggahan kenyataan antara Washington dan Tehran mengenai status rundingan bukanlah sesuatu yang baharu.
Penurunan harga minyak pada Isnin menyusuli lonjakan lebih 20 peratus pada Julai lalu yang didorong oleh peningkatan ketegangan konflik serta gangguan bekalan tenaga yang merebak dari Selat Hormuz ke Laut Merah.