NEW YORK: Sekurang-kurangnya tiga cedera dalam insiden tembakan di sebuah pejabat pos di Des Moines, Iowa, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, menurut pihak berkuasa, lapor Xinhua.
Polis Des Moines dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa seorang suspek telah ditahan.
Sarjan Polis Des Moines Paul Parizek berkata anggota polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan mengenai tembakan kira-kira 9.10 pagi waktu tempatan.
Insiden berlaku di tingkat dua bangunan pejabat pos berkenaan.
Dua individu mengalami kecederaan akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi cedera ketika cuba menyelamatkan diri.
Tiada kecederaan yang dilaporkan mengancam nyawa, menurut polis.
"Suspek telah ditahan dan siasatan masih dijalankan," kata Gabenor Iowa Kim Reynolds menerusi media sosial.
-- BERNAMA-XINHUA