Skip to main content

Dunia

Trump mahu “ambil minyak Iran”, dakwa AS boleh tawan Pulau Kharg

U.S. President Donald Trump speaks to the media before departing West Palm Beach aboard Air Force One, Florida, U.S., March 23, 2026. REUTERS/Kevin Lamarque
Trump menambah, sebarang langkah sedemikian bermakna AS perlu berada di pulau itu untuk satu tempoh tertentu. - Foto fail/REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata beliau mahu “mengambil minyak Iran” dan mendakwa Washington mempunyai keupayaan untuk menawan Pulau Kharg, hab eksport utama minyak Iran.

Dalam temu bual bersama akhbar Financial Times, Trump membandingkan langkah berpotensi itu dengan pendekatan AS di Venezuela, di mana Washington, menurutnya, berhasrat untuk menguasai industri minyak negara itu “untuk tempoh yang tidak ditentukan” selepas penculikan Presiden Nicolas Maduro pada Januari lalu.

Advertisement

“Sejujurnya, perkara kegemaran saya ialah mengambil minyak Iran, tetapi ada orang bodoh di AS yang bertanya, ‘kenapa kamu buat begitu?’ Mereka ini orang bodoh,” kata Trump.

Beliau berkata Washington mempunyai pelbagai pilihan berhubung Pulau Kharg, yang menjadi pusat utama eksport minyak Iran.

“Mungkin kita ambil Pulau Kharg, mungkin tidak. Kita ada banyak pilihan,” katanya kepada Financial Times.

Trump menambah, sebarang langkah sedemikian bermakna AS perlu berada di pulau itu untuk satu tempoh tertentu.

Apabila ditanya mengenai keupayaan pertahanan Iran di Pulau Kharg, Trump mendakwa pulau berkenaan hampir tidak dilindungi.

“Saya tidak fikir mereka mempunyai sebarang pertahanan. Kita boleh menawannya dengan sangat mudah,” katanya.

Kenyataan Trump itu dijangka menambah lagi ketegangan serantau di tengah konflik berterusan antara AS, Israel dan Iran, selain mencetuskan kebimbangan antarabangsa mengenai keselamatan infrastruktur tenaga serta laluan eksport minyak di Teluk.

Setakat ini, Tehran belum mengeluarkan reaksi rasmi terhadap kenyataan terbaru presiden AS itu.
 

Must Watch Video