WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyifatkan insiden tembakan di Majlis Makan Malam Koresponden White House (WHCD) pada Sabtu malam berkemungkinan besar tidak mempunyai kaitan dengan konflik yang sedang berlangsung antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Bercakap dalam sidang media di White House sejurus selepas dibawa keluar pasukan keselamatan, Trump berkata berdasarkan maklumat awal, insiden berkenaan dipercayai tidak didorong oleh peperangan di Asia Barat itu.
Advertisement
Namun, beliau menegaskan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif sebenar serangan tersebut.
“Ia tidak akan menghalang saya daripada memenangi peperangan di Iran. Saya tidak tahu sama ada ia berkait, tetapi saya rasa tidak, berdasarkan apa yang kita tahu setakat ini,” katanya kepada wartawan.
Insiden itu berlaku di Hotel Washington Hilton, lokasi penganjuran acara tahunan berprestij tersebut, apabila seorang suspek meluru ke arah pusat pemeriksaan keselamatan sambil membawa beberapa jenis senjata.
Suspek yang dikenal pasti sebagai Cole Tomas Allen, 31, dari California, dilaporkan membawa senapang patah, pistol serta beberapa bilah pisau sebelum ditahan oleh ejen Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat selepas berlaku kejadian berbalas tembakan.
Seorang ejen Perkhidmatan Rahsia dilaporkan terkena tembakan dalam insiden berkenaan, namun terselamat kerana memakai jaket kalis peluru.
Trump yang terselamat tanpa sebarang kecederaan memuji tindakan pantas pasukan keselamatan yang berjaya meneutralkan suspek dalam tempoh singkat sebelum beliau sempat memasuki ruang dewan utama tempat majlis berlangsung.
Kejadian itu merupakan antara ancaman keselamatan fizikal terbaharu yang dihadapi Trump sejak 2024, termasuk cubaan pembunuhan di Butler, Pennsylvania serta satu lagi insiden keselamatan di West Palm Beach, Florida.
Majlis Makan Malam Koresponden White House tersebut dibatalkan serta-merta susulan kejadian berkenaan dan dijadualkan untuk diadakan semula dalam tempoh kira-kira 30 hari akan datang.