Skip to main content

Malaysia

1,494 kertas siasatan dibuka, rokok bernilai RM62.17 juta dirampas hingga Jun

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • Jabatan Kastam Diraja Malaysia membuka 1,494 kertas siasatan melibatkan rokok dan tembakau dengan nilai rampasan RM62.17 juta hingga Jun lalu.
  • Kerajaan menubuhkan pasukan petugas pelbagai agensi dan mengurangkan lesen pengimport rokok kepada sembilan syarikat pada tahun ini.
  • Sistem penandaan digital akan diperkenalkan mulai 1 Januari 2027 bagi menggantikan setem cukai fizikal untuk memperketat kawalan dan pengesanan produk rokok.
Advertisement

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuka 1,494 kertas siasatan hasil pelaksanaan 31 operasi membabitkan rokok dan tembakau hingga Jun lepas, dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM62.17 juta.

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata langkah pencegahan dan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan penggunaan setem cukai palsu serta pengedaran produk tembakau yang bertujuan mengelak pembayaran duti dan cukai dapat dibendung.

Beliau berkata antara langkah yang diambil bagi mengurangkan penyeludupan rokok, bahan tembakau dan minuman keras termasuk penubuhan pasukan petugas pelbagai agensi (MATF) rokok dan minuman keras oleh Kementerian Kewangan.

Advertisement

“Jawatankuasa ini diwujudkan bertujuan sebagai satu platform untuk pihak kerajaan serta industri mencadangkan dan melaksanakan langkah memperketat kawalan penyeludupan,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) mengenai ancaman terhadap integriti fiskal dan penguatkuasaan di Malaysia susulan pembongkaran rangkaian rokok haram rentas sempadan di Filipina.

Advertisement

Berhubung dua entiti berpangkalan di Malaysia yang dikaitkan dengan pembongkaran rangkaian penyeludupan rokok di Filipina pada April lepas, iaitu Gillion Tobacco Sdn Bhd dan Long One Trading Sdn Bhd, Liew berkata JKDM menggerakkan satu pasukan khas bagi membangunkan profil serta memantau dengan lebih rapi semua transaksi import dan perdagangan membabitkan syarikat terbabit.

“Dalam pada itu, semak silang ke atas kedua-dua syarikat tersebut mendapati bahawa syarikat merupakan pengimport rokok yang pernah dilesenkan di bawah sub peraturan 42(1) Peraturan-peraturan Kastam 2019.

“Bagaimanapun, lesen import kedua-dua syarikat telah tamat tempoh pada 22 Dis 2024 dan permohonan pembaharuan lesen tidak diluluskan kerana kedua-dua syarikat tidak memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu pengimportan minimum 10 juta batang rokok dalam tempoh pelesenan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan telah mengurangkan jumlah lesen pengimport rokok daripada 24 syarikat pada 2024 kepada 16 syarikat pada 2025 dan seterusnya hanya sembilan syarikat pada tahun ini.

Mengenai langkah penguatkuasaan terkini, Liew berkata kerajaan memperkenalkan sistem penandaan digital ke atas rokok berkuat kuasa 1 Jan 2027 bagi menggantikan penggunaan setem cukai secara fizikal.

“Teknologi ini mempunyai elemen trace and track yang berfungsi merekodkan maklumat penjejakan setem secara terperinci bermula daripada fasa penjanaan kod sehingga serahan kepada pengedar serta juga berintegrasi dengan maklumat permit import.

“Semua maklumat pengeluaran di peringkat pengilangan akan dimuat turun secara digital dan boleh membantu menentukan kesahihan sesuatu produk,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement