Skip to main content

Dunia

Trump: Perjanjian nuklear AS- Arab Saudi tertakluk penyertaan Riyadh dalam Perjanjian Abraham

U.S. President Donald Trump speaks with the media as he arrives at Joint Base Andrews in Maryland, U.S., July 19, 2026. REUTERS/Evan Vucci
Trump berkata perjanjian itu "tertakluk sepenuhnya kepada penyertaan Arab Saudi dalam Perjanjian Abraham yang sangat dihormati dan berjaya'. - Gambar fail/REUTERS
Advertisement

ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis berkata perjanjian kerjasama nuklear dengan Arab Saudi tertakluk kepada syarat Riyadh menyertai Perjanjian Abraham, lapor Anadolu Ajansi.

"Perjanjian Nuklear Awam (tiada pengayaan bahan akan dilakukan!) yang sedang dimeterai antara Jabatan Tenaga Amerika Syarikat dan Arab Saudi, yang hanya melibatkan kegunaan bukan ketenteraan, seperti yang telah dimiliki Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta negara lain, akan diluluskan," tulis Trump menerusi platform Truth Social.

Trump berkata perjanjian itu "tertakluk sepenuhnya kepada penyertaan Arab Saudi dalam Perjanjian Abraham yang sangat dihormati dan berjaya," sambil menambah bahawa AS "tidak membantah kemudahan nuklear awam (tanpa pengayaan)."

Perjanjian Abraham ialah perjanjian normalisasi hubungan yang ditandatangani antara Israel dengan beberapa negara majoriti Islam ketika penggal pertama Trump sebagai presiden.

Setakat ini, empat negara menyertai perjanjian iaitu Bahrain, Maghribi, Sudan dan Emiriah Arab Bersatu.

Terdahulu pada Khamis, Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata perjanjian itu memerlukan kelulusan Kongres dan akan merangkumi langkah perlindungan.

"Sebarang perjanjian yang akan kami meterai dengan mana-mana negara di dunia mengenai tenaga nuklear awam akan mempunyai langkah perlindungan bagi memastikan ia tidak boleh diubah menjadi program senjata," kata Rubio kepada pemberita di Filipina.

Jabatan Tenaga AS pada Rabu memaklumkan bahawa AS dan Arab Saudi telah menandatangani perjanjian kerjasama nuklear itu.

Setiausaha Tenaga AS Chris Wright dan Menteri Tenaga Arab Saudi Putera Abdulaziz bin Salman menandatangani perjanjian kerjasama nuklear untuk tujuan aman, yang lazim dikenali sebagai Perjanjian 123, bersama perjanjian perlindungan dua hala, menurut jabatan itu dalam kenyataan.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement