PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan AS akan mengurangkan bilangan tenteranya di Jerman kepada 25,000 orang.

Keputusan mengurangkan kira-kira 9,500 anggota itu dijangkakan akan menimbulkan kemarahan rakan dalam sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

“Jerman sudah bertahun-tahun bermasalah dan mereka berhutang berbilion-bilion dolar daripada NATO dan harus membayarnya.

"Kita melindungi Jerman... Mereka tidak membayarnya. Itu tidak masuk akal. Jadi saya katakan kami akan menurunkan jumlah tentera kepada 25,000 orang.

"Di mana-mana tempat di sekitar pangkalan di Jerman itu sangat aman. Namun dalam pada itu, mereka melayan kami (AS) dengan sangat buruk dalam perdagangan.

"Kami mempunyai perdagangan dengan EU dan Jerman menjadi anggota terbesar. Layanan mereka buruk dan kami sedang berunding mengenainya. Tapi sekarang saya tidak berpuas hati dengan perjanjian yang ingin mereka lakukan," katanya pada Selasa.

Trump menegaskan tindakan Jerman adalah kegagalan melaksanakan kewajipan kewangan kepada NATO.

Trump juga memberi syarat sedia mengkaji semula pengurangan tentera sekiranya Berlin mengubah pendirian mereka.

Kenyataan itu sekali gus dianggap pengesahan secara rasmi berhubung pengurangan anggota tentera AS. Pengurangan kira-kira 9,500 anggota itu sebelum ini dilaporkan Wall Street Journal.