WASHINGTON: Tiga petugas media daripada CNN dan MS NOW dinafikan akses ke White House selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan sekatan terhadap tiga organisasi berita utama.
Mereka ialah wartawan CNN, Betsy Klein, koresponden MS NOW, Akayla Gardner serta seorang jurukamera rangkaian itu yang tidak dinamakan.
Gardner dan jurukamera berkenaan dilaporkan dihalang memasuki White House pada pagi Sabtu selepas pas akses tetap mereka dibatalkan.
Menurut Gardner, beliau dimaklumkan bahawa pasnya telah dinyahaktifkan ketika cuba mengimbasnya di pintu masuk, sebelum pas berkenaan diambil oleh anggota Perkhidmatan Rahsia AS.
Tindakan itu menyusul hantaran Trump di platform Truth Social semalam yang mengumumkan sekatan terhadap CNN, MS NOW dan Politico berkuat kuasa serta-merta.
“Organisasi media tidak sepatutnya dibenarkan terus menulis atau melaporkan cerita rekaan dan pembohongan ketika membuat liputan mengenai Presiden, pentadbiran atau Amerika Syarikat. Organisasi media berita palsu lain akan menyusul,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan laporan tertentu yang menjadi asas kepada sekatan tersebut.
CNN dalam kenyataannya mempertahankan pasukan wartawannya yang membuat liputan di White House serta menyifatkan tindakan itu sebagai serangan terhadap hak yang dilindungi Perlembagaan.
“Kami mempunyai hak di bawah Perlembagaan AS untuk melakukan pelaporan itu tanpa halangan atau campur tangan kerajaan.
“Sekiranya sekatan yang diancam Presiden Trump dilaksanakan, ia merupakan serangan tidak sah terhadap hak asasi yang dilindungi Perlembagaan,” menurut CNN.
MS NOW pula berkata, pihaknya akan mengambil segala langkah yang diperlukan bagi mempertahankan hak di bawah Pindaan Pertama serta peranan penting kewartawanan bebas dalam sistem demokrasi.
Politico turut berikrar untuk terus membuat liputan secara adil mengenai pentadbiran White House sekarang dan pada masa akan datang.
“Kami akan mempertahankan hak kami di bawah Pindaan Pertama dengan tegas daripada sebarang cubaan untuk menyekatnya,” menurut organisasi itu.
Setakat laporan terkini, tiada wartawan Politico dikenal pasti secara khusus sebagai telah dihalang memasuki White House.