Skip to main content

Dunia

Trump sekat semula pelabuhan Iran, ugut serang infrastruktur tenaga jika rundingan gagal

U.S. President Donald Trump looks on the day he signs an executive order on vehicle repairs in the Oval Office at the White House in Washington, D.C., U.S., June 29, 2026. REUTERS/Aaron Schwartz
Trump berkata Selat Hormuz akan terus dibuka kepada semua trafik perkapalan antarabangsa kecuali kapal yang berkaitan dengan Iran. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan sekatan semula terhadap semua pelabuhan Iran dan mengancam untuk melancarkan serangan ke atas infrastruktur tenaga serta kemudahan awam negara itu sekiranya Tehran enggan kembali ke meja rundingan.

Langkah itu dilihat sebagai peningkatan terbaharu dalam konflik antara kedua-dua negara yang kembali memuncak selepas gencatan senjata rapuh yang dicapai pada Jun lalu mula menunjukkan tanda-tanda keretakan.

Dalam wawancara yang disiarkan Fox News pada Selasa, Trump berkata Washington akan meneruskan tekanan ketenteraan dan ekonomi terhadap Iran sehingga negara itu bersedia untuk berunding.

“Saya akan simpan sasaran tenaga untuk yang terakhir, tetapi akhirnya kami akan menyerang sasaran tenaga,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa loji janakuasa dan jambatan di Iran boleh menjadi sasaran serangan pada minggu hadapan sekiranya tiada kemajuan dalam rundingan.

“Jika mereka tidak kembali ke meja rundingan, minggu depan loji janakuasa, minggu depan jambatan,” katanya.

Pada masa sama, tentera AS memaklumkan bahawa satu lagi siri serangan telah dilancarkan bagi melemahkan keupayaan Iran yang didakwa digunakan untuk mengancam perkapalan komersial di Selat Hormuz.

Iran pula mendakwa selat strategik itu sekali lagi ditutup berikutan peningkatan ketegangan dengan Washington sejak minggu lalu.

Konflik yang tercetus semula itu menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan bekalan tenaga global memandangkan Selat Hormuz merupakan laluan penting perdagangan minyak dan gas dunia.

Sebelum perang tercetus pada Februari lalu, kira-kira satu perlima daripada penghantaran minyak dan gas global melalui selat berkenaan setiap hari.

Dalam perkembangan berkaitan, tentera Iran mendakwa melancarkan serangan dron ke atas kedudukan tentera AS di Pangkalan Azraq, Jordan, awal Rabu.

Bagaimanapun, Pentagon belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) turut mendakwa menyasarkan kemudahan senjata dan stor simpanan di Bahrain serta Kuwait, namun laporan itu belum dapat disahkan secara bebas.

Media negara Iran turut melaporkan beberapa kawasan berhampiran Bandar Abbas dan Sirik di selatan negara itu terkena serangan peluru berpandu AS.

Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, berkata tekanan ketenteraan dan sekatan ekonomi tidak akan memaksa Tehran kembali ke rundingan.

“Jika AS beranggapan bahawa dengan memperketatkan tindakan terhadap kami melalui operasi ketenteraan dan sekatan ekonomi, kami akan kembali berunding, mereka silap,” katanya kepada televisyen kerajaan Iran.

Sekatan laut AS terhadap kapal yang berulang-alik ke pelabuhan Iran mula berkuat kuasa semula pada pukul 8 malam GMT Selasa selepas ia ditarik balik pada Jun lalu.

Trump berkata Selat Hormuz akan terus dibuka kepada semua trafik perkapalan antarabangsa kecuali kapal yang berkaitan dengan Iran.

Menurut tentera AS, lebih 20 kapal perang Tentera Laut AS dan ratusan pesawat tentera kini beroperasi di seluruh rantau Teluk.

Konflik yang berlarutan sejak Februari lalu telah mengorbankan ribuan nyawa, terutamanya di Iran dan Lubnan, selain menjejaskan ekonomi serantau dan pasaran tenaga global.

Harga minyak mentah Brent dilaporkan meningkat kira-kira 15 peratus dalam tempoh seminggu kepada AS$85 setong, paras tertinggi sejak pertengahan Jun.

Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) sebelum ini memberi amaran bahawa konflik yang berpanjangan boleh memberi risiko besar kepada ekonomi dunia, terutama ketika banyak negara telah menggunakan sebahagian besar simpanan minyak strategik mereka bagi mengurangkan kesan kenaikan harga tenaga.

Washington terus menegaskan bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear, manakala Tehran menafikan sedang membangunkan senjata tersebut dan menuntut penamatan sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas negara itu.
 

Must Watch Video

Advertisement