DUNIA
Trump tidak pernah berhasrat musnahkan empayar perniagaan Musk di AS

Presiden Trump (kanan) tidak berniat untuk melemahkan syarikat-syarikat milik Musk dengan menarik balik subsidi kerajaan Persekutuan, sebaliknya, mahu usahawan bilionair itu dan perniagaannya terus berkembang di dalam negara. - Gambar fail AP
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan, beliau tidak berniat untuk melemahkan syarikat-syarikat milik Elon Musk dengan menarik balik subsidi kerajaan Persekutuan, sebaliknya ,mahu usahawan bilionair itu dan perniagaannya terus berkembang di dalam negara.
“Ramai yang mengatakan saya akan menghancurkan syarikat-syarikat Elon dengan menarik balik sebahagian besar, jika tidak semua, subsidi besar yang diterimanya daripada kerajaan AS. Itu tidak benar,” kata Trump dalam satu hantaran di media sosial.
“Saya mahu Elon dan semua perniagaan dalam negara kita, TERUS MAJU.”
Kenyataan itu dibuat selepas Musk memberi amaran kepada pelabur Tesla bahawa pemotongan subsidi kenderaan elektrik yang dijangka berlaku boleh menyebabkan beberapa suku tahun yang mencabar buat syarikatnya.Berdasarkan undang-undang cukai dan bajet yang ditandatangani oleh Trump sendiri, kredit cukai sebanyak AS$7,500 untuk kenderaan elektrik baharu dan AS$4,000 untuk yang terpakai akan ditamatkan pada 30 September ini.
Walaupun Musk sebelum ini pernah mempersoalkan keperluan subsidi, Tesla telah lama menerima sokongan berbilion dolar daripada kerajaan AS melalui inisiatif tenaga boleh diperbaharui dan pengangkutan hijau.
Hubungan antara Trump dan Musk menjadi tegang sejak awal Jun apabila Musk secara terbuka mengkritik rancangan cukai dan perbelanjaan Presiden itu sebagai "tidak bertanggungjawab dari segi fiscal."
Ketegangan itu berlaku hanya beberapa minggu selepas Musk meletakkan jawatannya dalam pentadbiran Trump untuk memberi tumpuan semula kepada urusan perniagaannya.
Musk, yang sebelum ini mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) di White House dan membelanjakan lebih AS$250 juta untuk menyokong kempen pemilihan semula Trump, turut mengumumkan penubuhan parti politik baharunya pada bulan Julai.
Ekoran perbalahan itu, Trump dilaporkan mengugut untuk membatalkan kontrak awam bernilai berbilion dolar yang melibatkan syarikat-syarikat Musk.
Reuters kemudian melaporkan White House telah mengarahkan Pentagon dan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) untuk menyemak semula kontrak sedia ada dengan SpaceX sebagai langkah persediaan.
SpaceX sebelum ini merupakan pilihan utama dalam pembinaan komponen projek pertahanan peluru berpandu Golden Dome bernilai AS$175 bilion yang dicadangkan Trump.
Namun ketegangan yang memuncak mendorong pentadbiran Trump untuk meluaskan pencarian kontraktor
alternatif. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami