awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Konsert Legacy 30 terus hangat diperkatakan, Siti Nurhaliza kekal berjiwa besar terima kritikan
Mangsa banjir di Sarawak terus berkurang
Indonesia saman enam syarikat, tuntut lebih AS$200 juta susulan kerosakan alam sekitar di zon banjir
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Trump ugut kenakan tarif baharu terhadap negara yang tidak sokong rancangan beliau ambil alih Greenland

Agensi
Agensi
16/01/2026
23:20 MYT
Trump ugut kenakan tarif baharu terhadap negara yang tidak sokong rancangan beliau ambil alih Greenland
Trump menegaskan, Greenland penting untuk keselamatan Amerika Syarikat, malah berkata Washington akan mendapatkannya “cara mudah atau cara sukar” - merujuk kepada pembelian atau pengambilalihan secara paksa. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Jumaat memberi amaran untuk mengenakan tarif terhadap negara yang tidak menyokong hasrat beliau untuk mengambil alih Greenland.
Dalam satu mesyuarat di White House, Trump berkata, beliau “mungkin akan mengenakan tarif terhadap negara yang tidak bersetuju dengan Greenland,” merujuk kepada wilayah autonomi yang berada di bawah pentadbiran Denmark.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan negara mana yang bakal terkesan atau kuasa undang‑undang apa yang akan digunakan untuk melaksanakan tarif tersebut.
Penentangan terhadap rancangan itu bukan sahaja datang daripada Denmark dan Greenland sendiri, tetapi juga beberapa negara lain serta ramai penggubal undang-undang di AS.
Ketika Trump membuat kenyataan itu, satu delegasi dwipartisan Kongres AS sedang berada di Greenland bagi menunjukkan sokongan kepada kerajaan wilayah tersebut.
Delegasi 11 ahli itu termasuk wakil Republikan yang menyuarakan kebimbangan terhadap idea Presiden untuk memperoleh Greenland atas alasan keselamatan negara.
Mereka bertemu Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen dan pemimpin Greenland, Jens-Frederik Nielsen.
Ketua delegasi, Senator Chris Coons dari Demokrat berkata, tujuan lawatan mereka adalah “mendengar pandangan rakyat tempatan dan membawa suara mereka kembali ke Washington untuk meredakan keadaan.”
Trump dakwa Greenland penting untuk keselamatan AS
Trump sebelum ini menegaskan, Greenland penting untuk keselamatan Amerika Syarikat, malah berkata Washington akan mendapatkannya “cara mudah atau cara sukar” - merujuk kepada pembelian atau pengambilalihan secara paksa.
“Saya mungkin kenakan tarif kepada negara yang tidak bersetuju mengenai Greenland, kerana kita perlukan Greenland demi keselamatan negara,” katanya dalam mesyuarat mengenai kesihatan luar bandar di White House.
Greenland mempunyai populasi kecil tetapi kaya dengan sumber asli.
Lokasinya di antara Amerika Utara dan Artik menjadikannya strategik sebagai sistem amaran awal serangan peluru berpandu dan pemantauan laluan maritim.
AS kini mempunyai lebih 100 anggota tentera yang ditempatkan secara tetap di pangkalan Pituffik, yang telah dikendalikan Washington sejak Perang Dunia Kedua.
Berdasarkan perjanjian sedia ada, AS berhak membawa masuk seberapa ramai anggota tentera ke Greenland.
Namun Trump berpendapat, negara itu perlu “dimiliki” sepenuhnya bagi memastikan pertahanan lebih menyeluruh terhadap ancaman Rusia atau China.
Denmark beri amaran risiko kepada NATO
Kerajaan Denmark memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan AS ke atas Greenland akan mengakibatkan perpecahan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), blok pertahanan trans-Atlantik yang selama ini diterajui Washington.
Prinsip NATO mewajibkan semua anggota mempertahankan satu sama lain sekiranya diserang musuh luar dan belum pernah berdepan situasi di mana satu negara anggota menggunakan kekerasan terhadap anggota lain.
Negara-negara Eropah turut menyatakan sokongan padu kepada Denmark.
Mereka menegaskan bahawa Artik juga kawasan strategik bagi Eropah dan keselamatannya perlu dikendalikan secara bersama menerusi NATO, dengan penyertaan AS.
Sehubungan itu, beberapa negara termasuk Perancis, Jerman, Sweden, Norway, Finland, Belanda dan United Kingdom telah menghantar sejumlah kecil anggota ke Greenland bagi misi tinjauan. Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berkata aset darat, udara dan laut akan digerakkan dalam masa terdekat.
Lawatan kongres AS tidak ubah pendirian Trump
Lawatan delegasi Kongres itu menyusul beberapa hari selepas rundingan peringkat tinggi di Washington gagal meyakinkan Trump untuk menggugurkan rancangan berkenaan.
Delegasi itu merangkumi senator serta ahli Dewan Perwakilan AS yang merupakan penyokong kuat NATO.
Walaupun majoriti terdiri daripada ahli Demokrat yang lantang menentang Trump, ia turut disertai senator Republikan sederhana seperti Thom Tillis dan Lisa Murkowski.
Ahli Parlimen Greenland, Aaja Chemnitz berkata, pertemuan dengan delegasi AS itu memberinya harapan baharu. “Kami perlukan rakan. Kami perlukan sekutu,” katanya kepada BBC.
Mengulas perbezaan besar antara pendirian White House dan kerajaan Denmark serta Greenland, beliau berkata: “Ini maraton, bukan pecut pendek. Tekanan dari pihak AS sudah berlaku sejak 2019. Tak realistik jika kita anggap semuanya selesai sekarang.”
Beliau menambah: “Keadaan berubah hampir setiap jam. Jadi lebih banyak sokongan yang kami dapat, lebih baik.”
Murkowski merupakan antara penaja rang undang-undang dwipartisan bagi menghalang sebarang cubaan AS untuk mengilhakkan Greenland.
Seorang ahli Kongres Republikan pula memperkenalkan rang undang-undang saingan sebagai sokongan kepada rancangan tersebut.
Trump yakin akan ada ‘perjanjian’
Duta Trump ke Greenland, Jeff Landry, memberitahu Fox News bahawa AS sepatutnya berbincang terus dengan pemimpin Greenland, bukan Denmark.
“Saya percaya ada perjanjian yang patut dan akan dicapai apabila semuanya selesai,” katanya.
“Presiden serius. Beliau sudah menetapkan haluannya. Denmark sudah tahu apa yang beliau mahukan, dan kini terpulang kepada Setiausaha Negara Marco Rubio dan Naib Presiden JD Vance untuk memuktamadkannya.
“Amerika Syarikat sentiasa negara yang menyambut baik. Kami tidak masuk untuk menakluk atau mengambil alih mana-mana negara. Kami berkata, ‘Kami membawa kebebasan, kekuatan ekonomi dan perlindungan.’” - Agensi
Topic Berkaitan
#Greenland
#Trump ugut
#tarif baharu
#AS mahu Greenland
#Donald Trump
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan