Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Calon PH Tanjung Bidara mohon maaf, jelaskan video tular ‘ajak minum’

Mohd Yunazri berkata kandungan video yang tular itu telah diubah suai dan dimanipulasi dengan niat tertentu. - Foto Astro AWANI/Firdaus Mohari
Mohd Yunazri berkata kandungan video yang tular itu telah diubah suai dan dimanipulasi dengan niat tertentu. - Foto Astro AWANI/Firdaus Mohari

Ringkasan AI

  • Calon PH DUN Tanjung Bidara, Mohd Yunazri Mustamiri, memohon maaf atas video tular yang menimbulkan persepsi negatif terhadap dirinya.
  • Beliau menjelaskan video tersebut telah dimanipulasi dan tindakannya berlaku secara spontan ketika menyantuni komuniti Cina di kawasan itu.
  • Mohd Yunazri mengakui kesilapan dari sudut sensitiviti sebagai Muslim dan berjanji lebih berhati-hati dalam berkempen pada masa akan datang.
Advertisement

ALOR GAJAH: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Mohd Yunazri Mustamiri memohon maaf berhubung video tular yang memaparkan beliau seolah-olah mengajak masyarakat Cina ‘minum’, sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap dirinya.

Mohd Yunazri, 36, berkata kandungan video yang tular itu telah diubah suai dan dimanipulasi dengan niat tertentu.

Ujarnya, kejadian berlaku ketika hadir atas jemputan untuk menyantuni komuniti Cina.

Advertisement

“Jadi kami hadir atas jemputan untuk memberi kata-kata semangat kepada pengundi PH dalam kalangan komuniti Cina di kawasan itu.

“Apabila mereka sedang makan, saya memberi ucapan dan mereka berhenti makan. Di hujung ucapan saya itu, ada sekumpulan tetamu yang mengangkat cawan ke arah saya.

Advertisement

“Dalam masa yang sama, saya terus menghentikan ucapan kerana rasa bersalah dan meminta mereka untuk terus minum dan makan. Itu sahaja,” katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas ‘walkabout’ di Pantai Tanjung Bidara, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yunazri berkata tindakannya itu berlaku secara spontan dan tidak dirancang.

Beliau juga mengakui menyedari terdapat sebahagian masyarakat Cina di lokasi berkenaan yang sedang mengambil minuman beralkohol.

Beliau bagaimanapun mengakui perkara itu tidak sepatutnya berlaku dari sudut sensitiviti sebagai seorang Muslim dan bersedia menerima teguran.

“Saya memang ingin memohon maaf. Saya juga akui saya adalah muka baharu dalam gelanggang pilihan raya ini, jadi mungkin ada perkataan-perkataan yang terlepas dan boleh mudah dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

“Saya kurang sedar tentang perkara tersebut dan ini adalah satu pengajaran yang sangat bagus bagi saya,” ujarnya.

Mengulas dakwaan bahawa beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk meraih undi, Mohd Yunazri menafikan perkara itu.

Sebaliknya, Timbalan Bendahari AMK Negeri Melaka itu berkata tindakannya lebih kepada menyantuni tetamu yang hadir dan tidak mahu mengganggu waktu makan mereka.

Susulan itu, beliau berharap video berkenaan tidak dijadikan bahan fitnah sehingga memberi kesan terhadap reputasi dan keperibadiannya.

“Saya percaya ia akan menjejaskan kempen saya sedikit sebanyak dan mungkin akan memberi impak,” tambahnya.

Dalam pada itu, Mohd Yunazri berkata akan menjadikan kejadian tersebut sebagai pengajaran dan lebih berhati-hati ketika berkempen, khususnya dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh perkara sensitif.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Mohd Yunazri berdepan saingan satu lawan satu dengan penyandang kerusi itu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang juga Ketua Menteri Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka ke-16.
 

Must Watch Video

Advertisement