Skip to main content

Malaysia

SHAKAM: Ganjaran emas acara berpasukan naik 166.67 peratus kepada RM40,000

Dr Mohammed Taufiq pada sidang media khas Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya, hari ini. --fotoBERNAMA
Dr Mohammed Taufiq pada sidang media khas Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya, hari ini. --fotoBERNAMA
Advertisement

PUTRAJAYA: Kadar ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi pemenang pingat emas acara berpasukan Sukan Asia, Sukan Para Asia dan Sukan Komanwel dinaikkan sebanyak 166.67 peratus daripada RM15,000 kepada RM40,000 seorang.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata kenaikan itu turut melibatkan ganjaran pemenang pingat perak acara berpasukan daripada RM8,000 kepada RM20,000 seorang, manakala pingat gangsa meningkat daripada RM4,000 kepada RM10,000 seorang.

Beliau berkata kadar baharu yang diluluskan Lembaga Majlis Sukan Negara (MSN) itu berkuat kuasa mulai tahun ini dan akan terus diguna pakai bagi temasya sukan akan datang.

Advertisement

“Saya sangat optimis bahawa ganjaran yang kita berikan ini tidak memanjakan mereka, tetapi merupakan satu suntikan semangat supaya mereka kekal memberikan terbaik untuk negara.

“Paling penting sebenarnya bukan untuk atlet sedia ada. Kita nak beri penekanan kepada atlet pelapis supaya mereka melihat ini salah satu nilai lumayan yang boleh dicapai jika mendapat pingat, baik emas, perak ataupun gangsa,” katanya pada sidang media khas SHAKAM di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, hari ini.

Advertisement

Turut hadir pada sidang media itu Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan dan skuad sepak takraw lelaki kebangsaan.

Pada masa sama, Mohammed Taufiq berkata penambahan kadar ganjaran itu merupakan kenaikan pertama bagi acara berpasukan dalam tempoh 24 tahun, sejak ia ditetapkan pada 2002.

Beliau berkata pelaksanaan kadar baharu itu memberikan manfaat kepada 66 atlet daripada 10 pasukan membabitkan enam sukan iaitu sepak takraw, skuasy, hoki, berbasikal trek, karate dan e-sukan yang meraih pingat pada temasya sukan terlibat tahun ini.

Sementara itu, Mohammed Taufiq berkata penambahbaikan itu melibatkan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM1.152 juta termasuk insentif jurulatih di bawah Skim Galakan Jurulatih (SGAR).

“Dengan itu, jumlah ganjaran bagi ketiga-tiga temasya 2026 meningkat daripada RM4.26 juta kepada RM5.41 juta, manakala jumlah SHAKAM 2026 meningkat kepada RM6.69 juta, tahun kedua tertinggi sejak skim ini diperkenalkan pada 1986,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammed Taufiq memberi jaminan peningkatan kadar ganjaran berkenaan tidak akan menjejaskan peruntukan mahupun persiapan atlet negara, termasuk penyertaan dalam kejohanan dan temasya sukan antarabangsa.

Sebelum ini, Mohd Sumali menyuarakan pandangan supaya kadar ganjaran SHAKAM bagi acara berpasukan, khususnya yang melibatkan lebih lima pemain dikaji semula bagi memastikan insentif diterima atlet lebih setimpal dengan komitmen serta pengorbanan mereka.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement