Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) dari PArti Republikan, Donald Trump, mahu bertemu untuk berunding dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un, dalam percubaannya untuk menghentikan program nuklear negara tersebut.

“Saya mahu berjumpa dan berbincang dengannya. Saya tiada masalah untuk bercakap dengannya.

“Pada masa yang sama, saya akan memberi tekanan kuat kepada China kerana dari aspek ekonomi, kita mempunyai lebih kuasa berbanding China,” ujarnya kepada Reuters.

Namun, masih kurang jelas sama ada Trump merujuk kepada rundingan dua hala antara AS dan Korea Utara ataupun mesyuarat tertutup. Jika itu benar terjadi, ia suatu perkembangan yang luar biasa.

Selama ini tidak banyak dialog antara AS dan Korea Utara sejak Pyongyang menarik diri daripada rundingan gencatan senjata antarabangsa dengan AS dan negara-negara lain pada 2008.

Petadbiran Barack Obama berkata rundingan itu sedia diteruskan, hanya jika Korea Utara komited dalam usaha ‘melupakan’ senjata nuklear.

Jong-Un bagaimanapun telah menggandakan aktiviti program nuklearnya, dengan melancarkan dua ujian ledakan nuklear sejak berada di tampuk kuasa empat tahun lalu.

Dia juga telah melancarkan roket jarak jauh ke angkasa lepas, hingga menimbulkan kebimbangan AS.

AS pula dalam tindak balasnya mengetuai usaha sekatan antarabangsa ke atas Pyongyang.

Hasrat Trump untuk bertemu Jong-Un itu bagaimanapun ditempelak calon Presiden Parti Demokrat Hillary Clinton yang menyatakan bahawa Trump tidak memahami polisi antarabangsa.