SEOUL: Korea Selatan melaporkan tsunami kecil di bahagian Laut Timur pada Isnin, susulan gempa bumi kuat di luar pantai barat Jepun.

Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA) berkata gempa bumi berukuran 7.6 magnitud yang menggegarkan Ishikawa dan wilayah berdekatan kira-kira 4 petang menyebabkan tsunami kecil di perairan di luar pantai timur Korea Selatan di wilayah Gangwon pada petang Isnin, lapor Agensi Berita Yonhap.

Menurut KMA ombak di luar pantai bandar Gangneung mencecah 20 sentimeter (cm) pada 6.01 petang manakala gelombang yang dilihat dari sebuah lagi pantai di bandar Donghae diukur setinggi 45 cm pada 6.05 petang.

KMA mengeluarkan amaran tsunami apabila ketinggian maksimum gelombang mencapai 50 cm, walaupun ombak setinggi 20 hingga 30 cm masih boleh menyebabkan kerosakan.

KMA menyatakan bahawa ketinggian tsunami boleh meningkat ke tahap yang lebih berbahaya bergantung pada air pasang surut dan memberi amaran bahawa tsunami mungkin berterusan di Gangwon selama lebih 24 jam.

Pada awal hari itu, Gangwon menghantar amaran tsunami melalui mesej teks kepada penduduk di enam bandar dan daerah berhampiran laut, menggesa orang ramai berhampiran kawasan pantai untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.

Berikutan gempa itu, Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran tsunami besar untuk Ishikawa dan amaran tsunami peringkat rendah atau nasihat untuk seluruh pantai barat laut pulau Honshu.

Media Jepun berkata gelombang boleh mencapai ketinggian 5 meter, walaupun tiada laporan segera akan kerosakan.

Sementara itu Kementerian Luar Korea Selatan masih belum menerima sebarang laporan kecederaan atau kerosakan melibatkan warga Korea Selatan di Jepun setakat petang Isnin.

Kementerian luar berkata dianggarkan 1,200 warga Korea Selatan menetap di Wilayah Ishikawa dan 800 lagi di Wilayah Toyama yang bersebelahan.

-- BERNAMA